Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2025-2027 yang dijadual diadakan September ini, selepas dua jawatan itu masing-masing hanya menerima satu pencalonan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi senarai calon layak bertanding yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS Wan Rohimi Wan Daud malam tadi selepas mesyuarat jawatankuasa berkenaan pada Rabu lalu.
Senarai itu menunjukkan status “calon tunggal (tiada pertandingan)” bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, namun tidak mendedahkan nama calon tersebut.
Empat calon disahkan bertanding jawatan Naib Presiden, iaitu Ahmad Samsuri Mokhtar, Idris Ahmad, Nik Amar Abdullah dan Muhammad Sanusi Md Nor.
Samsuri yang merupakan Menteri Besar Terengganu merupakan penyandang jawatan tersebut, selain Idris dan Nik Amar.
Sanusi yang merupakan Menteri bBesar Kedah dan Pengarah Pilihan Raya PAS sebelum ini menyatakan dia belum bersedia untuk memegang jawatan naib presiden, dengan alasan terdapat individu lain yang lebih layak.
Namun, Mursyidul Am PAS Hashim Jasin sebelum ini menyatakan sokongan terhadap pencalonan Sanusi, dengan membangkitkan prestasinya sebagai pemimpin negeri dan pengaruhnya dalam parti.
Abdul Hadi pertahan jawatan
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu, sambil menegaskan dia tidak berniat melepaskan jawatan yang dipegang lebih 20 tahun itu.
Menolak desas-desus perubahan kepimpinan dalam PAS, setiausaha agungnya Takiyuddin Hassan bulan lalu berkata jawatan tertinggi parti lazimnya disandang sehingga pemimpin tersebut meninggal dunia.
Dia berkata demikian ketika mengulas spekulasi mengenai masa depan Abdul Hadi sebagai pemimpin PAS ketika dia dilihat agak uzur.
Khabar angin itu semakin kuat apabila beberapa pemimpin kanan PAS membuat kenyataan keras – termasuk melalui pertubuhan Geng Ustaz – yang mengecam pihak tertentu kerana dianggap mahu “melanggar presiden”.
Hadi dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, tidak pernah dicabar bagi jawatan masing-masing sejak pemilihan parti 2015.
Bagi jawatan ketua Dewan Ulama, calon layak bertanding ialah penyandang, Ahmad Yahaya dan Adun Bukit Payung Nor Hamzah.
Ketua Pemuda PAS Ahnan Hamimi Taib Azamudden pula akan mempertahankan jawatannya dan akan berdepan dengan Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar