Umno Sabah menyasarkan Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya, selepas dia mendakwa enggan menyertai “Langkah Kinabalu” – percubaan gagal untuk menggulingkan Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah dua tahun lalu – kerana tidak mahu mengkhianati mandat rakyat.
Menyatakan Shahelmey sebagai antara individu yang dikaitkan dengan skandal perlombongan, Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman mempersoalkan bila dia akan diheret ke mahkamah.
“Shahelmey cuba memanipulasikan fakta serta mengambil kredit seolah-olah dia adalah orang beramanah untuk mempertahankan mandat rakyat.
“Namun, segala yang dikatakan olehnya adalah pembohongan, dia bukan mempertahankan mandat rakyat, dia hanya mempertahankan kerakusan dan kekayaannya,” katanya dalam kenyataan.
Datu Rosman turut merujuk video yang didedahkan ahli perniagaan Albert Tei, yang didakwa menunjukkan Shahelmey mengaku lesen penerokaan perlombongan diberikan kepada beberapa Adun sebagai “hadiah” bagi mendapatkan sokongan mereka terhadap Hajiji semasa Langkah Kinabalu.

Shahelmey yang merupakan Adun Tanjung Keramat dan anggota Parlimen Putatan itu merupakan salah seorang daripada lapan individu yang dirakam berbincang mengenai sogokan yang didakwa diberi sebagai pertukaran untuk lesen penerokaan mineral. Shahelmey dikatakan menerima RM400,000 daripada sogokan RM1 juta yang dijanjikan.
Dia adalah antara enam Adun Umno yang memilih untuk menyokong pentadbiran Hajiji ketika Langkah Kinabalu. Dia kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri menggantikan Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang merancang langkah tersebut.
Merujuk video berkenaan, Datu Rosman mendakwa Shahelmey bukan sahaja mengkhianati Umno dan BN, tetapi juga rakyat Sabah.
“Shahelmey telah disiasat SPRM berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa tersebut, namun hanya dua orang iaitu Adun Sindumin Yusof Yacob dan Adun Tanjung Batu Andi Suryady Bandi yang didakwa ke mahkamah.
“Bagaimana dengan keadaan Shahelmey yang turut terpalit (dakwaan) kesalahan menerima rasuah?
“Kami menggesa SPRM menjalankan siasatan secara adil, telus dan bebas, segerakan proses pendakwaan Shahelmey ke mahkamah demi meredakan kekecewaan dan rasa tidak puas hati rakyat Sabah terhadap kerajaan,” katanya lagi.
Datu Rosman berkata dalam PRN 2020 dan PRU15 pada 2022, pengundi di Tanjung Keramat dan Putatan menyokong Shahelmey di bawah tiket Umno/BN.
“Kepercayaan sebagai calon Umno/BN itu diberikan sendiri oleh Bung Moktar…Jika benar ‘anak jantan’ buktikan keberanian politik dengan menyerahkan mandat itu semula kepada rakyat dan bertanding kali ini atas bendera GRS,” katanya lagi.
Dalam wawancara bersama Free Malaysia Today semalam, Shahelmey mendakwa Bung tidak berunding dengan semua Adun Umno sebelum melancarkan Langkah Kinabalu.
“Saya tidak pernah dirunding mengenai rancangan itu, tetapi prinsip saya jelas: saya tidak akan mengkhianati mandat rakyat dengan membantu menukar kerajaan,” katanya.