Malaysia Oversight

Tahanan Arutchelvan tak sah, usaha bisukan suara rakyat

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
Tahanan Arutchelvan tak sah, usaha bisukan suara rakyat


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyertai gesaan mengecam penahanan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, dengan mendakwa ia tidak sah di sisi undang-undang serta jelas satu bentuk intimidasi terhadap kerjanya membela golongan terpinggir.

Menurut Bersih, perintah tahanan terhadap Arutchelvan adalah “bukti nyata salah guna kuasa polis,” sambil menegaskan dia sudah memberikan kerjasama penuh sebelum ditahan semalam.

Bersih turut menggesa polis supaya tidak menahan aktivis yang memperjuangkan isu rakyat secara aman, menekankan bahawa penahanan Arutchelvan perlu dilihat sebagai usaha melemahkan gerakan masyarakat sivil dan membisukan suara rakyat.

60fed0350e9c6666d00d98974be08a5b

“Kami mendesak polis segera menghentikan amalan menakut-nakutkan aktivis dan pembela hak rakyat,” kata jawatankuasa pemandu Bersih dalam satu kenyataan hari ini.

Arutchelvan ditahan selama kira-kira enam jam malam tadi sebelum dibebaskan dengan jaminan polis berhubung insiden penyerahan memorandum di luar Parlimen pada 13 Ogos lalu.

Sebelum itu, polis mengeluarkan waran tangkap ke atas pemimpin PSM itu mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan atau intimidasi terhadap penjawat awam, serta Seksyen 427 kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerugian bernilai RM25 atau lebih.

Arutchelvan dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur sekitar jam 6 petang semalam, ditemani peguamnya KS Bawani dan Shashi Devan.

e2ceb2755300003935832cca781c0622

Kekecohan dengan polis di luar Parlimen berlaku apabila PSM bersama aktivis lain dihalang berarak ke pintu utama kompleks itu untuk menyerahkan memorandum yang mendesak mewajibkan syarikat perladangan menyediakan perumahan untuk pekerja mereka.

Sementara itu, bekas ahli parlimen DAP Kasthuri Patto dalam kenyataan berasingan menyifatkan tangkapan Arutchelvan sebagai “melucukan dan tidak masuk akal,” sambil menegaskan rakyat berhak menyerahkan memorandum kepada Parlimen.

ac2805dfd48cf725f3c104e15ea23fbe
Kasthuri Patto

“Polis kata ada pegawai cedera akibat pergelutan. Pergelutan di mana? Siapa puncanya? Adakah polis memakai kamera badan?

“Kalau ya, di mana rakamannya yang membuktikan (Arutchelvan) atau mereka yang hadir menyebabkannya?

“Kalau tidak, di mana bukti yang menunjukkan pegawai polis cedera akibat pergelutan itu?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Antarabangsa DAP itu turut menekankan tiada keperluan untuk kehadiran besar polis ketika penyerahan memorandum, dan menggesa pihak Parlimen menyediakan ruang yang selamat dan bermaruah bagi mana-mana pihak yang mahu menyerahkan memorandum kepada wakil rakyat.

Langkah itu, katanya, akan memastikan Dewan Rakyat berfungsi sebagai saluran untuk suara rakyat didengari.

d0285af19eab0e47f2e1b6de8b6703d1
Latheefa Koya

Sementara itu, pengasas bersama Lawyers for Liberty, Latheefa Koya, mendakwa sikap berdiam diri pimpinan Pakatan Harapan terhadap penahanan Arutchelvan menunjukkan gabungan itu kini menjadi “pengkhianat” kepada nilai serta prinsip yang pernah mereka perjuangkan.



Source link