Malaysia Oversight

Polis siasat editor MalaysiaNow selepas laporan polis Farhash

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 1 minute
Polis siasat editor MalaysiaNow selepas laporan polis Farhash


Polis sedang menyiasat Editor MalaysiaNow, Abdar Rahman Koya, berhubung dakwaan pendedahan maklumat serta fitnah jenayah, kata peguamnya Rajesh Nagarajan.

Dia mengesahkan bahawa polis merakamkan kenyataan Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya sekitar jam 2 petang, berhubung siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah jenayah.

Katanya, siasatan itu dibuat susulan laporan polis oleh ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador, yang juga adalah bekas pegawai Perdana Menteri Ibrahim, terhadap anak guamnya.

“IPD Petaling Jaya juga menyiasat laporan Farhash di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (MCMC) 1998.

“Dia (Rahman) sebelum ini sudah memberi keterangan kepada polis minggu lalu di Bukit Aman, berhubung laporan polis berkaitan skandal lesen penerokaan mineral di Sabah,” katanya.

Menurut Rajesh, siasatan Bukit Aman itu dibuat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan kesalahan mendedahkan maklumat diperoleh ketika menjalankan tugas.

Tambahnya, setakat ini siasatan masih berjalan dan belum ada petunjuk sama ada Rahman akan dituduh dalam masa terdekat.

Pada 18 Ogos lalu, Malaysiakini melaporkan Rahman pernah dipanggil polis pada 12 Ogos selepas Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd membuat laporan berhubung skandal sama.

Bulan lalu, MalaysiaNow menerbitkan siri pendedahan yang mendakwa SMM – sebuah GLC Sabah – telah memberi lesen penerokaan mineral kepada sebuah syarikat milik bersama Farhash.

Farhash dan SMM menafikan dakwaan itu. SMM kemudian menjelaskan pihaknya hanya memberi kelulusan bersyarat kepada syarikat Farhash untuk memohon lesen, namun membatalkannya selepas syarikat tersebut gagal menyerahkan dokumen diperlukan.



Source link