KANGAR: Kuartert Sabah berjaya mengungguli acara lari berganti-ganti 4×100 lelaki bawah 18 tahun dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65, di Stadium Tuanku Syed Putra di sini hari ini.
Pelari Sabah yang terdiri daripada Mohamad Zaidy Kadir, Airi Amani Kahar, Carlson Camilus dan Muhammad Muzaffar Shah Abdul meraih catatan masa 40.89 saat sekali gus memecahkan rekod terdahulu milik Kedah dengan masa 40.92 saat.
Selain itu, acara 4×100 lelaki bawah 15 tahun turut menyaksikan catatan rekod baharu kejohanan apabila pasukan Selangor berjaya meraih kemenangan dengan masa 41.99 saat.
Masa yang dicatatkan itu memadamkan rekod kejohanan acara tersebut iaitu 42.25 saat.
Sementara itu, ketua pasukan Sabah, Muhammad Muzaffar berkata, dia bersama rakan sepasukan sememangnya telah menanam semangat untuk menang dalam acara itu sebelum mereka memulakan larian dalam saingan itu.
“Kami memang sudah berazam untuk memang dan semasa perlumbaan ini, masing-masing berjaya mempamerkan prestasi terbaik,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Di samping itu, Muhammad Muzaffar berkata, pada saingan peringkat akhir itu, larian mereka juga sememangnya sedikit terganggu disebabkan oleh hujan yang menyebabkan keadaan trek basah.
Katanya, bagaimanapun, mereka dapat mengekalkan momentum larian sekali gus memecahkan rekod kejohanan yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Selepas ini, saya juga akan fokus untuk acara seterusnya iaitu 200 meter dan mensasarkan pingat gangsa kerana perlu berdepan saingan hebat dari Selangor serta Pulau Pinang,” katanya.-UTUSAN