Malaysia Oversight

Lim saman Tajuddin berhubung dakwaan ketika jadi Menteri Kewangan

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 3 minute
Lim saman Tajuddin berhubung dakwaan ketika jadi Menteri Kewangan


Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap bekas Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataan yang didakwa berbaur perkauman pada 2022.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tengah hari tadi dengan Tajuddin dinamakan sebagai satu-satunya defendan.

Notis mahkamah yang dilihat Malaysiakini menyatakan pengurusan kes dijadualkan pada 22 September.

Ini bermakna Lim akhirnya mengotakan kata-katanya pada Oktober 2022 untuk menyaman ahli politik itu.

Tajuddin sebelum ini dilaporkan membuat kenyataan tersebut semasa siaran langsung sebuah program bual bicara pada 18 Oktober 2022, di mana dia mendakwa Lim telah menukar pejabat Kementerian Kewangan menjadi “tokong” dan bersikap tidak mesra terhadap orang Melayu.

Dia mendakwa Lim telah menamatkan perkhidmatan kakitangan awam Melayu yang bekerja di kementerian itu dan “membawa masuk orangnya sendiri” yang kononnya tidak kompeten serta ditempatkan di bilik tanpa sebarang kerja.

Lim merupakan menteri kewangan di bawah persekutuan pimpinan PH antara 2018 hingga 2022.

Tajuddin berkata demikian dalam program bual bicara mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada akhir tahun yang sama.

e9ab6550ca9c4759c646425197098bcf
Tajuddin Abdul Rahman

Dalam afidavit sokongannya, Lim berkata kenyataan Tajuddin jelas merujuk kepada dirinya kerana namanya disebut, selain dia adalah menteri kewangan ketika itu.

Lim menganggap Tajuddin secara terancang membuat kenyataan sedemikian memandangkan PRU15 semakin hampir ketika itu.

Sebelum memfailkan saman, Lim berkata dia menuntut permohonan maaf tanpa syarat dan ganti rugi RM2 juta daripada Tajuddin, melalui surat yang dihantar peguamnya pada 4 November tahun sama, dan sekali lagi pada 12 Ogos 2024, namun tidak mendapat maklum balas.

“Defendan (Tajuddin) sedar atau sepatutnya sedar bahawa sebarang bahan yang diterbitkan atau disiarkan di Internet dianggap boleh dicapai oleh seluruh dunia.

“Defendan dengan sengaja membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif dengan dia tahu PRU15 semakin hampir untuk mendapatkan publisiti murahan dan keuntungan politik.

“Kenyataan itu dibuat dengan tujuan memburukkan imej plaintif sebagai ahli politik yang bersikap perkauman, anti-Melayu, anti- dan tidak sensitif terhadap orang Melayu.”

Lim mendakwa kenyataan Tajuddin juga bertujuan menimbulkan kebencian dan penghinaan pengundi Melayu dan terhadapnya, dengan menggambarkan seolah-olah dia menyalahgunakan kuasa sebagai Menteri Kewangan untuk menghias atau mengubah suai pejabat kementerian menjadi kuil Cina menggunakan dana awam.

Kenyataan itu, kata Lim, telah teruk mencalar reputasinya sebagai ahli politik berpengalaman dan dihormati, yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan, bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, serta bekas Pengerusi DAP.

Ia juga menjejaskan reputasi peribadinya dan mendedahkannya kepada penghinaan serta kebencian awam, kata Lim lagi.

Katanya lagi, kata-kata dalam kenyataan itu seperti bermakna dia seorang menteri yang tidak cekap, yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa dengan kononnya memecat penjawat awam Melayu di kementeriannya.

“Kenyataan itu menyebabkan rasa malu, tekanan, dan kesakitan emosi yang mendalam kepada plaintif, khususnya apabila ia tidak benar, dibuat dengan niat jahat (mala fide) dan secara berniat jahat oleh defendan untuk menyasarkan plaintif menjelang PRU15,” katanya.

Tuntutan permohonan maaf

Lim juga mendakwa Tajuddin tidak menunjukkan rasa bersalah walaupun diberi peluang untuk menarik balik kenyataan atau memohon maaf.

Menerusi saman itu, Lim menuntut Tajuddin menarik balik kenyataan tersebut dan mengeluarkan permohonan maaf serta menerbitkannya di semua organisasi berita, termasuk MalayMail, Free Malaysia Today dan Malaysiakini.

Dia juga menuntut ganti rugi am, teruk dan punitif, serta perintah injunksi untuk menghalang Tajuddin atau pekerja, kakitangan atau ejennya daripada mengeluarkan, menerbitkan atau menerbitkan semula kenyataan itu atau kata-kata yang serupa.

Dia turut menuntut faedah lima peratus setahun ke atas semua jumlah yang mungkin ditetapkan mahkamah, serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai.

[Baca berita asal]



Source link