Malaysia Oversight

M’sia perlu buat perkara betul berhubung isu gaji minimum

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
M'sia perlu buat perkara betul berhubung isu gaji minimum


PARLIMEN | Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menegaskan pentingnya melaksanakan kadar gaji minimum yang sama bagi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Dalam ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 di parlimen hari ini, Sim menyentuh mengenai nilai kemanusiaan sebagai respons terhadap cadangan Lim Guan Eng (PH-Bagan) supaya gaji minimum untuk pekerja asing dimansuhkan.

“Undang-undang ini bukan sekadar angka aksara dalam warta tetapi lambang nilai kemanusiaan kita.

“Asas isu ini bukan sekadar ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa) atau undang-undang, tetapi kita harus buat perkara yang betul. Ini hak asasi manusia,” katanya di Dewan Rakyat.

Sim turut mengingatkan pekerja tempatan akan terkesan sekiranya majikan tidak lagi diwajibkan membayar sekurang-kurangnya RM1,700 sebulan kepada pekerja asing.

Ini kerana langkah itu akan menggalakkan majikan menggajikan pekerja asing sekali gus menekan kadar gaji pekerja tempatan.

“Inilah bentuk persaingan yang tidak adil ke bawah (unfair competition to the bottom) yang akan merugikan rakyat kita sendiri.

“Jika kita biarkan sistem perburuhan negara menindas golongan tertentu, waima pekerja asing, sistem yang sama akan akhirnya memudaratkan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Malaysia menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari, namun majikan dengan kurang daripada lima pekerja diberi tempoh pengecualian sehingga 1 Ogos.

6a18887d72e2574b3ff4490dabb97e3d

Bagaimanapun, pada 6 Ogos lalu, Lim berkata tiada keperluan untuk mewajibkan gaji minimum serta caruman KWSP sebanyak dua peratus bagi pekerja asing kerana Malaysia tidak terikat dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau ILO mengenai perkara tersebut.

Kenyataan Lim itu dibidas oleh NGO buruh dan aktivis yang menyifatkan cadangan berkenaan sebagai tidak berperikemanusiaan.

Sementara itu, Sim memberitahu parlimen bahawa kenaikan gaji minimum itu memberi manfaat besar kepada pekerja tempatan.

Katanya, sebelum pelarasan dibuat, terdapat 4.37 juta pekerja yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,700 sebulan, dan 80 peratus daripadanya adalah warganegara.

“Justeru, kenaikan gaji minimum sebenarnya memberi manfaat paling besar kepada rakyat Malaysia. Malah statistik menunjukkan pekerja Malaysia bergaji sepuluh persentil terbawah mengalami peningkatan gaji sehingga 60 peratus dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan mekanisme gaji minimum ini,” katanya. 



Source link