Malaysia Oversight

Bangladesh sita aset RM174j milik lelaki didakwa ketua sindiket eksploitasi pekerja ke M’sia

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 2 minute
Bangladesh sita aset RM174j milik lelaki didakwa ketua sindiket eksploitasi pekerja ke M’sia


Jabatan Siasatan Jenayah (CID) polis Bangladesh telah menyita kira-kira RM174 juta (Tk 5 bilion) aset milik Ruhul Amin Swapan, yang didakwa sebagai ketua sindiket yang menghantar tenaga kerja ke Malaysia.

Ia selepas Mahkamah Sesyen Metropolitan Dhaka membenarkan permohonan Bahagian Jenayah Kewangan CID Bangladesh untuk membuat sitaan aset.

Malaysiakini turut menerima salinan perintah mahkamah tersebut.

“Berdasarkan perkara dan rujukan di atas, dimaklumkan tertuduh Md Ruhul Amin (alias Swapan), anak Allahyarham Md Abdul Karim dan Rabeya Begum, telah didakwa memeras ugut dan menyalahgunakan Tk 8,000 crore (RM278 juta) melalui aktiviti eksploitasi tenaga manusia berasaskan sindiket di Malaysia.

“Dia dilaporkan telah mencuci hasil dan memperoleh rumah dan tanah, mengumpul aset yang sangat besar melalui kesalahan pengubahan wang haram,” menurut perintah mahkamah  itu.

Menurut perintah itu lagi, demi memastikan siasatan yang adil dan memastikan Ruhul Amin dan institusinya tidak “memindahkan, menukar, menyembunyikan atau menjual” aset tersebut, adalah perlu untuk meluluskan perintah pembekuan aset.

Semalam, Superintenden Khas Polis (media) CID Jasim Uddin Khan dalam kenyataan mengesahkan Bahagian Jenayah Kewangan memohon perintah mahkamah untuk menyita aset Ruhul Amin.

Kenyataan itu turut dilihat Malaysiakini menyebut bahawa agensi pengambilan pekerja milik Ruhul, Catharsis International memiliki empat ekar tanah di kawasan kediaman Bashundhara Dhaka, Banani, dan Uttara di bawah tujuh surat ikatan berasingan.

“Walaupun nilai surat ikatan tanah berjumlah Tk 15.55 crore, nilai pasaran tanah termasuk infrastruktur yang dibina di atasnya dianggarkan Tk 500 crore,” katanya, sambil menambah siasatan terhadap Ruhul dan ahli sindiket lain masih berjalan dan tindakan akan diambil di bawah Akta Pengubahan Wang Haram.

‘Aset dirampas secara tak adil’

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ruhul Amin menafikan semua tuduhan ke atasnya.

“Ini adalah perkara yang mendesak mengenai rampasan harta kami secara salah oleh . Walaupun pemilikan sah dan patuh kepada semua peraturan, aset kami telah dirampas secara tidak adil. 

“Tiada sebarang penyelewengan atau aktiviti terlarang dijalankan sama sekali. Hartanah dirampas sebelum kes itu difailkan terhadap kami.

Untuk rekod, pada bulan lepas CID Bangladesh menyerahkan laporan akhir kepada mahkamah Dhaka, berkenaan satu lagi siasatan kes pemerdagangan tenaga kerja berprofil tinggi melibatkan individu berpengaruh.

Pada 15 Julai, CID Bangladesh membebaskan seorang bekas menteri kebajikan ekspatriat, seorang bekas setiausaha, beberapa bekas penggubal undang-undang, dan lebih 100 agensi pekerja daripada dakwaan pemerdagangan manusia dan pengubahan wang haram berkaitan proses pengambilan pekerja atas arahan Malaysia.

Bagaimanapun, pengadu utama dalam kes itu Altab Khan yang merupakan seorang ahli perniagaan mendesak Bangladesh mengadakan siasatan semula.

Bulan lalu, Malaysiakini melaporkan Bangladesh setuju untuk menghentikan siasatan terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi warganya yang ingin bekerja di Malaysia.

Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat di Kuala Lumpur pada 17 Julai antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma).

Malaysiakini dimaklumkan mesyuarat itu diadakan selepas kerajaan Malaysia menghantar surat kepada Bangladesh bagi menggesa siasatan dihentikan atas alasan ia tidak berasas.

Kesuma menafikan mengadakan perjumpaan rasmi dengan wakil Bangladesh namun tidak mengulas berkenaan surat kementerian itu kepada Bangladesh.



Source link