IPOH: Perak FA mengharapkan tuah beraksi di Kompleks Bola Sepak Perak di Chepor di sini apabila bertemu Perlis dalam Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 esok.
Pasukan Perak akan mula beraksi Chepor esok selepas dalam dua perlawanan sebelum ini bermain Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM) iaitu ketika aksi sulung liga menentang UM-Damansara United diikuti Kedah FA.
Selepas berjaya mengutip satu mata dalam perlawanan menentang Kedah FA, Penolong Pengurus, Zainal Anuar berharap nasib pasukan itu lebih baik pada perlawanan ketiga.
“Kami bermula dengan kekalahan tetapi pemain bangkit untuk mengutip satu mata ketika bertemu Kedah dalam perlawanan kedua.
“Jadi kali ini kita mahukan tiga mata penuh pula,” katanya.
Zainal berharap pemain dapat melakukan yang terbaik dalam perlawanan esok dan pemain perlu yakin untuk cuba memenangi perlawanan esok bagi meletakkan pasukan pada landasan yang betul.
Begitupun, Zainal mengingatkan pemain Perak juga tiada kelebihan kerana pada kali ini akan bermain pada waktu petang.
“Perlawanan pada petang berbeza dengan dua perlawanan sebelum ini yang berlangsung pada waktu malam.
“Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri bermain pada waktu petang di mana cuaca lebih panas,” katanya.
Zainal juga yakin pemain import baharu, Christian Chukwu yang gagal menyerlah dalam perlawanan menentang Kedah, sudah bersedia memberi persembahan terbaik petang esok setelah lama berada bersama pasukan.
Menurutnya, ketika menentang Kedah tempoh hari, pemain itu baru tiba di sini tetapi tetap diturunkan, menyebabkan pemain itu tidak mampu beraksi dengan baik.
“Kali ini dia sudah bersedia dan saya yakin dia mampu memberi sumbangan yang berkesan kepada pasukan, ” katanya. – UTUSAN