Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang merupakan rancangan serta hala tuju pembangunan negara untuk tempoh 2026 hingga 2030.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Alice Lau Kiong Yieng berkata usul itu diluluskan selepas lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju.
Terdahulu, usul RMK13 itu dibahaskan selama lapan hari bermula 4 Ogos oleh 161 Ahli Parlimen, disusuli dengan penggulungan menteri setiap kementerian selama empat hari sejak Isnin lepas.
Persidangan hari ini menyaksikan enam lagi kementerian meneruskan penggulungan perbahasan RMK13 termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Digital dan Kementerian Ekonomi sebagai kementerian terakhir.
Antara isu dibangkitkan anggota Parlimen pada sesi perbahasan ialah pendekatan anjal dan berteraskan pilihan berhubung cadangan pembayaran pencen secara bulanan menerusi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), penggubalan dasar baharu dan memperkukuh struktur pendidikan serta dasar ekonomi kreatif negara atau ekonomi jingga.
-Bernama