Malaysia Oversight

Farhash, dua yang lain saman MalaysiaNow RM10 juta

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 3 minute
Farhash, dua yang lain saman MalaysiaNow RM10 juta


Ahli politik yang kini bergelar ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, bersama dua individu lain memfailkan saman fitnah terhadap portal berita MalaysiaNow dan editornya, dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta berhubung artikel portal itu mengenai skandal perlombongan di Sabah.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini, saman itu difailkan oleh firma guaman Messrs Ahmad Deniel, Ruben & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 Julai.

Farhash bersama Bumi Suria Sdn Bhd dan Mohd Aminudin Mustapha menamakan MNow Sdn Bhd serta Muhammad Abd Ar-Rahman Koya sebagai defendan.

Farhash dan Aminudin ialah pengarah Bumi Suria.

Selain RM10 juta, plaintif turut menuntut ganti rugi teruk, teladan dan ganti rugi tambahan, perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf penuh, tanpa syarat dan terbuka di portal tersebut, faedah lima peratus setahun, serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Mereka juga menuntut defendan memadam artikel berkenaan daripada laman MalaysiaNow dan telah memfailkan permohonan injunksi segera untuk menghalang portal itu daripada mengulang siar artikel yang didakwa berunsur fitnah tersebut.

4b614cb4f41b0a2b9e7dec9446f369ca

Peguam Rahman, Rajesh Nagarajan, mengesahkan bahawa permohonan injunksi itu akan didengar di hadapan Hakim Noor Hayati Mat pada 26 Ogos, jam 2.30 petang, di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Artikel didakwa cemarkan reputasi

Dalam afidavit sokongan, plaintif menyatakan artikel fitnah berkenaan telah menjejaskan kedudukan Farhash sebagai tokoh masyarakat yang dikenali serta reputasi kerjaya dan hubungan perniagaan Aminudin.

Mereka mendakwa artikel itu menggambarkan seolah-olah mereka menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan lesen perlombongan secara haram.

“(Pernyataan tersebut) Menuduh Plaintif-Plaintif terlibat dalam rasuah dan amalan tidak beretika, serta menjejaskan reputasi dan integriti plaintif kedua (Farhash) dan plaintif Ketiga (Aminudin) sebagai ahli perniagaan dan tokoh awam;

“(Ia) Menimbulkan sangkaan bahawa plaintif kedua dan plaintif ketiga korup, tidak jujur dan tidak berprinsip.

“Kenyataan fitnah pertama tersebut telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi plaintif-plaintif, dan bahawa tiada sebarang pembelaan sah boleh dibangkitkan oleh defendan-defendan berkenaan penerbitan tersebut yang mana akan dihuraikan dengan lebih lanjut kemudian ini,” katanya.

4b614cb4f41b0a2b9e7dec9446f369ca

Mereka berkata mana-mana individu yang membaca artikel itu akan dapat mengenal pasti ia merujuk kepada mereka.

Selain maksud biasa, plaintif juga mendakwa artikel berkenaan mempunyai sindiran (innuendo) yang menggambarkan mereka memperoleh lesen perlombongan secara haram melalui penyalahgunaan kuasa, hubungan politik dan campur tangan dalam proses kelulusan .

Mereka turut menegaskan bahawa MalaysiaNow tidak berfungsi sebagai syarikat media bebas, sebaliknya digunakan sebagai alat untuk tujuan yang salah di sisi undang-undang dan menyebarkan fitnah demi kepentingan tertentu.

Dokumen itu menyebut:

“Plaintif-Plaintif memplidkan bahawa defendan kedua adalah pengarah tunggal dan pemegang saham tunggal kepada defendan pertama (MalaysiaNow). Defendan kedua mempunyai kuasa tunggal dalam pengurusan defendan pertama dan membuat semua keputusan berkenaan dengan operasi serta kandungan yang diterbitkan oleh defendan pertama.

“Penerbitan kenyataan-kenyataan fitnah tersebut bukanlah semata-mata atas dasar kewartawanan bebas, tetapi merupakan satu tindakan bermotif peribadi defendan kedua,” tegasnya.

Didakwa sebarkan maklumat palsu

Plaintif mendakwa Bumi Suria tidak pernah dianugerahkan sebarang lesen perlombongan oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) – agensi pengurusan pusat negeri yang hanya menjalankan penilaian teknikal dan kewangan permohonan lesen.

Menurut mereka, SMM tiada kuasa mengeluarkan lesen perlombongan dan tiada lesen diberikan kepada Bumi Suria di bawah Ordinan Perlombongan Sabah 1960.

Pada 24 Julai, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) turut mengesahkan perkara itu.

“Kenyataan fitnah yang diterbitkan defendan-Defendan adalah palsu, mengelirukan, dan dilakukan dengan niat jahat, atau paling kurang diterbitkan secara cuai tanpa pengesahan fakta yang sepatutnya,” menurut dokumen itu lagi.

Plaintif mendakwa portal itu dan Rahman mengambarkan seolah-olah surat yang diterbitkan dalam artikel mereka sebagai lesen perlombongan yang sah, dalam usaha mengelirukan orang awam dan merosakkan nama mereka.

Mereka menambah, portal itu bukan sahaja gagal berfungsi sebagai entiti media bebas dan berkecuali, malah digunakan sebagai alat oleh pihak tertentu untuk agenda tersendiri.

“Kerosakan-kerosakan yang dialami oleh plaintif-plaintif adalah serius dan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya melalui sebarang penjelasan lisan atau penafian awam.

“Plaintif-plaintif menegaskan bahawa tindakan defendan-defendan adalah terjumlah kepada satu kepalsuan berniat jahat (“malicious falsehood”), seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5 dan 6 Akta Fitnah 1957,” menurut dokumen itu.



Source link