Malaysia Oversight

Bekas kakitangan MAS pertahan pembelian Boeing, kata pesawat selamat

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 3 minute
Bekas kakitangan MAS pertahan pembelian Boeing, kata pesawat selamat


Persatuan Pesara Sistem Penerbangan Malaysia (Masra) menyokong langkah membeli pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion (RM40 bilion), dengan memberi jaminan ia selamat digunakan.

Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) sebelum ini mengumumkan perolehan 30 pesawat baharu terus daripada Boeing sebagai sebahagian strategi pemodenan armada.

63b66fff46cc7a804195a806aa38eb17

Tempahan itu termasuk 18 Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10, menggunakan enjin CFM Leap-1B dengan pilihan tambahan 30 pesawat lagi.

Operasi pesawat Boeing 737 Max pernah digantung di seluruh dunia antara Mac 2019 hingga hujung 2020 selepas dua nahas membabitkan model Max 8 – Lion Air Penerbangan 610 di Laut Jawa pada 2018 dan Ethiopian Airlines Penerbangan 302 pada 2019 – yang meragut ratusan nyawa.

Punca utama dikaitkan dengan perisian sistem kawalan penerbangan (MCAS). Boeing kini tidak lagi menggunakan label “Max”, sebaliknya menamakan model itu sebagai “737-8” dan “737-9”.

‘Paling banyak diaudit’

Presiden Masra, Shulhameed Marican, memberi jaminan pesawat Boeing 737-8 yang akan dibeli MAG adalah selamat.

“Pesawat ini adalah yang paling banyak diaudit sejak kejadian itu, oleh Boeing dan kemudian FAA (Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS).

868ebbd4bdc3017d4ff7781d19d79657

“Segala aspek sudah diperiksa dari A hingga Z. Sejak insiden tersebut, tiada lagi masalah berlaku,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, penghantaran pertama hanya dijangka pada 2029, memberi masa yang cukup untuk memastikan semua aspek keselamatan dipenuhi.

“Menjelang ketibaannya pada 2029, setiap sudut pesawat sudah diperiksa,” katanya.

Menurutnya, pembelian pada masa ini juga tepat kerana harga pesawat lebih kompetitif berikutan insiden terdahulu, selain piawaian juruterbang MAS yang disifatkannya antara tertinggi di dunia.

“Piawaian juruterbang kita sangat tinggi, sejak dulu lagi. Semua syarikat penerbangan mengiktiraf lesen juruterbang Malaysia dan Singapura kerana penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.

‘Sudah dibaiki’

Seorang lagi pakar penerbangan, Amin Khan – bekas naib presiden kanan strategi komersial MAS – turut bersetuju.

“Memang malang insiden itu berlaku, tetapi selepas nahas, Boeing dan FAA menyemak semula perisian, ia mengambil masa dua tahun.

“Hakikatnya mereka sudah baiki, jadi ia kini pesawat yang baik,” katanya.

a9cf91d486d9b086307f8bef1347677c

Amin mengaku pada awalnya dia sendiri takut menaiki 737 Max, namun kini yakin dengan tahap keselamatan selepas penambahbaikan.

Shulhameed menambah Boeing 737 sentiasa menjadi tulang belakang operasi MAS.

“Ramai kata MAS hanya ada 12 atau 30 buah, tetapi sebenarnya kita ada 60, malah syarikat lain ada lebih lagi.

“Boeing 737 adalah pesawat utama MAS,” katanya.

Katanya, pembelian ini juga memberi nilai tambah kerana purata usia armada sedia ada mencecah 12.7 tahun, dan menjelang 2029 akan meningkat kepada hampir 17 tahun. Pesawat lama akan diganti dan masih ada nilai jualan semula, katanya.

Keputusan perniagaan strategik

Shulhameed menegaskan tempoh ini penting kerana jika tidak membuat tempahan sekarang, MAG mungkin ketinggalan memandangkan kapasiti pengeluaran pesawat global masih terjejas selepas pandemik Covid-19.

8de1713184b13577468ce4debbae1ea5

Amin pula berkata, pengeluaran industri kini 20 peratus lebih rendah dan banyak syarikat penerbangan sedang berebut membeli.

“Kalau beli lewat, mungkin terpaksa menyewa dengan kos lebih tinggi,” katanya.

Dia menjelaskan pembelian ini tidak akan membebankan kewangan MAG atau kerana bayaran pendahuluan boleh dirunding bawah 10 peratus, selebihnya dibayar secara ansuran “seperti beli rumah”.

‘Bukan guna duit pembayar cukai’

Sebelum ini, MAG mengumumkan pembelian itu bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri penerbangan global.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan pembelian pesawat Boeing adalah keputusan korporat yang dibiayai oleh dana syarikat, bukannya daripada wang pembayar cukai.

Katanya, ia adalah keputusan strategik MAG sebagai syarikat, sambil menepis dakwaan bahawa ia ada kaitan dengan rundingan tarif Malaysia-AS.



Source link