Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata dia tidak mempunyai sebarang isu dengan syarikat bukan Melayu yang menjalankan penjenamaan semula Tabung Haji (TH).
Katanya, ini selagi syarikat itu dimiliki oleh orang Islam.
“Kalaupun dia bukan orang Melayu, tetapi dia orang Islam, carry on (teruskan).
“Saya tak persoalkan tentang ini Melayu, Cina atau India. Tidak. Saya persoalkan nak bagi ni biarlah konsultan itu tahu the principle, Islamic principle. Dia kena tahu itu dulu,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Na’im Mokhtar berkata kerajaan sedang mempertimbangkan tindakan terhadap individu di sebalik cubaan menghasut pendeposit TH menutup akaun mereka.
Na’im berkata beberapa video seumpama itu telah disebarkan di platform media sosial baru-baru ini.
Ini berikutan usaha penjenamaan semula RM5.9 juta oleh TH, yang beberapa pihak telah mempertikaikannya, kerana ia didakwa diberikan melalui rundingan terus kepada usaha niaga bukan Islam.
Semasa sidang media itu, Ahli Parlimen PAS Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary mempersoalkan komitmen kerajaan menghapuskan rundingan terus.

Dia berkata Na’im sebelum ini mengesahkan dalam jawapan parlimennya bahawa syarikat yang menjalankan penjenamaan semula TH telah dilantik melalui rundingan terus.
“Sebenarnya usaha yang kami buat ini untuk menjaga sensitiviti dan menjaga keyakinan pendeposit TH. Yang menjadi masalah tindakan kerajaan termasuklah jawapan-jawapan menteri itu tidak boleh meyakinkan pada pendeposit.
“Jadi jangan marah kepada pendeposit di luar sana yang bersuara kerana jawapan-jawapan yang diberikan sebelum ini memang tidak meyakinkan.
“Tambah pula dicampur dengan hari ini terdedah bahawa kontrak diberikan secara tidak sepatutnya kepada syarikat yang bukan Islam, kerana ada syarikat Islam yang lebih berkepakaran boleh laksanakan projek rebranding ini end-to-end,” tambahnya.
Pada Isnin (18 Ogos), Marzuk digantung dari dewan selama dua hari selepas perbahasan hangat dengan Na’im berhubung isu itu.
Na’im menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 apabila Marzuk mencelah, menuduh menteri itu gagal menjawab sama ada TH memberikan kontrak “penjenamaan semula” kepada syarikat bukan Melayu tanpa tender terbuka.
Dia menegaskan dia tidak bersikap “perkauman” dan menuntut Na’im menjelaskan alasan melantik syarikat bukan Melayu untuk mereka bentuk semula logo TH, yang pada masa ini termasuk dalam tulisan Arab frasa Hayya ‘alal falah, atau “mari menuju kejayaan”.
Marzuk turut menamakan syarikat yang dilantik itu dan senarai pemegang saham bukan Melayunya, mendakwa dia dimaklumkan terdapat “banyak syarikat Melayu-bumiputera” yang menunggu panggilan tender terbuka untuk penjenamaan semula itu.
*Laporan oleh Zarrah Morden, Hariz Mohd, Shakira Buang