PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati terdapat kegagalan pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) dalam FashionValet Sdn Bhd berpunca daripada pendekatan strategi omnichannel yang berisiko tinggi.
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsuddin berkata kegagalan tersebut turut disumbangkan oleh faktor luaran seperti pandemik Covid-19 dan perubahan tingkah laku pengguna.
“Terdapat senario yang tidak selari wujud di antara mandat Khazanah untuk menjana pulangan komersial (yang mungkin memerlukan lebih banyak pendedahan kepada pasaran global) dengan peranannya sebagai instrumen pembangunan negara yang tertakluk kepada arahan-arahan berkepentingan nasional.
“Strategi pelaburan modal teroka Khazanah melalui pendekatan dana kepada dana adalah wajar untuk mencapai objektifnya sebagai pemangkin ekosistem inovasi domestik walaupun sifatnya yang berisiko tinggi,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.
Mas Ermieyati yang juga anggota parlimen Masjid Tanah berkata demikian mengulas dapatan hasil prosiding yang dijalankan PAC ke atas FashionValet, yang mana penyata PAC berhubung pelaburan domestik Khazanah turut dibentang ke Dewan Rakyat hari ini.
Mas Ermieyati berkata, PAC turut mendapati Khazanah mempunyai tadbir urus dalaman yang berlapis untuk saringan dan kelulusan pelaburan.
“Mekanisme pengawasan oleh Kementerian Kewangan (MOF) juga didapati berada di peringkat strategik dan tidak mengganggu operasi komersial harian, selaras dengan amalan tadbir urus yang baik,” katanya.
Menurut ketua Wanita PN itu, PAC turut mendapati Khazanah tidak mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung proses pascanilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian yang melebihi had material tertentu.
4 syor
Sehubungan itu Mas Ermieyati berkata PAC mengesyorkan empat penambahbaikan kepada Khazanah Nasional Berhad.
“Khazanah perlu secara proaktif dan berterusan mendidik orang ramai mengenai strategi dan peluang pelaburan melalui VC (modal teroka) termasuk risiko tinggi model ini.
“Laporan tahunan, kenyataan media, dan platform komunikasi lain harus digunakan untuk menjelaskan rasional di sebalik pendekatan portfolio dan jangkaan bahawa akan ada pelaburan yang gagal sebagai sebahagian daripada strategi untuk memacu inovasi.
Katanya, Khazanah juga hendaklah mewujudkan SOP untuk menjalankan analisis pascanilai bagi setiap pelaburan yang dilupuskan dengan kerugian yang melebihi had material tertentu.
“Laporan pascanilai ini, yang menggariskan punca kegagalan, kelemahan proses dan cadangan penambahbaikan, wajib dibentangkan kepada Jawatankuasa Audit Lembaga dan lembaga pengarah untuk memastikan akauntabiliti dan pembelajaran institusi,” katanya.
Tambah Mas Ermieyati, PAC juga mengesyorkan Khazanah memperkukuh rangka kerja pengurusan risikonya untuk memasukkan analisis senario yang lebih mendalam terhadap kejutan pasaran bukan kewangan.
Perkara itu, katanya, supaya syarikat itu lebih responsif untuk menyusun semula atau keluar daripada pelaburan apabila asas pelaburan berkenaan berubah secara drastik.
Selain itu, katanya, Khazanah dalam laporan berkala kepada MOF setiap suku tahun, juga perlu melaporkan perkara berhubung prestasi pelaburan Khazanah bukan sekadar melaporkan prestasi kewangan.