Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mempertahankan tindakan kerajaan yang memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang mengisytiharkan perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam versi terdahulu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA)1998 sebagai tidak berperlembagaan.
Pada Selasa lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan dua istilah itu sebagai tidak berperlembagaan sekali gus membatalkan peruntukan utama dalam CMA.
Keputusan penting itu berpunca daripada cabaran undang-undang aktivis Heidy Quah yang berjaya mengetepikan Seksyen 233, yang sebelum ini membenarkan pendakwaan terhadap kandungan dalam talian yang dianggap menyinggung atau menjengkelkan.
Bercakap kepada media, Anwar berkata, reformasi institusi tidak boleh hanya bergantung kepada keputusan mahkamah semata-mata, sebaliknya perlu dikaji secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.
“Mahkamah beri pandangan dan kita akan teliti,” katanya sambil menambah bahawa jika keputusan mahkamah selari dengan agenda reformasi, kerajaan terbuka untuk menerimanya.
“Sebagai contoh, dalam hal perhimpunan haram, saya ada masalah kerana raja-raja bertitah bahawa kebebasan berhimpun tidak sepatutnya meliputi kawasan istana. Jadi kita perlu memikirkannya.
“Kadangkala, kerana keghairahan menunjukkan untuk kebebasan rakyat, ia menyinggung kawasan lain,” kata Anwar.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan di parlimen bahawa Putrajaya bercadang untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Fahmi mengesahkan beliau dimaklumkan mengenai rancangan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
“Berkaitan keputusan Mahkamah Rayuan, saya dimaklumkan AGC akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia ke-13.
Fahmi turut menegaskan bahawa cadangan asal pindaan Seksyen 233 adalah lebih keras berbanding versi yang akhirnya diperhalusi dan dibentangkan di parlimen.
Dia juga menjelaskan bahawa di bawah pindaan semasa, Seksyen 233 hanya menjenayahkan kandungan yang “sangat menyinggung” (grossly offensive) serta dengan jelas menyenaraikan beberapa aspek yang tidak dianggap sebagai kesalahan.