KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi pada Khamis berikutan dolar AS rendah selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) dikeluarkan, kata penganalisis.
Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding mata wang utama dan serantau.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.2190/2335 daripada 4.2250/2290 pada Rabu. .
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat itu menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengambil pendekatan menunggu untuk menilai impak daripada kejutan tarif terhadap ekonomi, terutamanya inflasi.
“Perdebatan tertumpu kepada sama ada impak itu bersifat sementara atau berterusan.
“Michelle Bowman dan Christopher Waller, dua ahli FOMC yang berbeza pendapat dan menyokong penurunan kadar faedah sebanyak 25 mata asas percaya bahawa impak inflasi yang didorong oleh tarif itu hanya bersifat sementara,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.05 peratus kepada 98.218 berikutan minit mesyuarat memberikan petunjuk bercampur-campur kepada pelabur.
Beliau berkata pelabur kini memberikan tumpuan kepada ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada Simposium Jackson Hole pada Jumaat.
“Kemungkinan akan terdapat lebih banyak petunjuk mengenai langkah Fed dalam membuat keputusan pada mesyuarat FOMC pada September.
“Buat sementara waktu, kami menjangka ringgit diniagakan dalam jajaran kecil berikutan peniaga kekal berhati-hati walaupun kemungkinan penurunan sebanyak 25 mata asas pada September adalah tinggi,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata ringgit dijangka berada antara RM4.22 dan RM4.23 berbanding dolar AS hari ini.
Pada sesi pembukaan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.9156/9325 daripada 4.9196/9242 pada Rabu, naik berbanding yen Jepun kepada 2.8646/8747 daripada 2.8648/8677 dan mengukuh berbanding pound kepada 5.6809/7004 daripada 5.7033/7087.
Ringgit turut meningkat berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2828/2943 daripada 3.2864/2898, mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.9528/13.0037 daripada 12.9756/9935, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 259.2/260.2 daripada 259.6/260.0 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.40/7.43 daripada 7.41/7.42 sebelum ini – BERNAMA