NGO Projek Sama menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas bagi membendung kes keganasan dan ugutan, susulan serangan terhadap anak lelaki Rafizi Ramli.
Projek Sama berkata serangan tersebut merupakan kes berprofil tinggi ke-10 melibatkan keganasan atau ugutan yang masih belum diselesaikan di bawah pentadbiran kerajaan semasa.
“Sepuluh kes berprofil tinggi yang belum diselesaikan di bawah kerajaan Madani menandakan kegagalan serius dalam penguatkuasaan undang-undang.
“Projek Sama menggesa Perdana Menteri untuk bertindak tegas kerana tanpa keselamatan dan kebertanggungjawaban, reformasi kerajaannya berisiko hilang kredibiliti sepenuhnya,” kata NGO itu dalam kenyataan semalam.
NGO itu berkata dalam tinjauannya mengenai hubungan etnik yang dibuat tahun lalu, majoriti besar penduduk Semenanjung mahu kerajaan mengambil tindakan keras terhadap keganasan. Peratusan tertinggi adalah dalam kalangan responden Melayu, iaitu sebanyak 78 peratus.
Anak lelaki Rafizi yang berusia 12 tahun diserang oleh dua individu yang menyuntiknya dengan jarum suntikan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lalu.
Serangan itu turut disusuli dengan mesej ugutan yang dihantar kepada isterinya.
Menurut Projek Sama, Rafizi merupakan anggota Parlimen kedua yang menjadi sasaran.
Pada 10 Januari tahun lalu, rumah Anggota Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham di Ayer Tawar, Perak dibaling bom api ketika dia dan isterinya masih tidur di rumah.
Berikut adalah insiden lain yang disenaraikan Projek Sama:
“Sehingga kini, tiada seorang pun telah didakwa bagi semua kes ini. Seorang pun belum ditangkap. Malah seorang mangsa, Pamela Ling, masih tidak dapat dikesan.
“Jika individu berprofil tinggi seperti ahli politik dan/atau keluarga mereka, peguam, serta pemain bola sepak pun tidak selamat, dengan penyerang mereka bebas tanpa tindakan selama berhari-hari malah berbulan-bulan selepas melakukan jenayah, bolehkah rakyat biasa yakin yang mereka selamat?” soal Projek Sama.