Malaysia Oversight

Uganda nafi setuju terima warga asing diusir Amerika

By MkiniBM in August 21, 2025 – Reading time 1 minute
malaysiakini logo


Uganda semalam menafikan laporan bahawa ia telah mencapai persetujuan dengan Washington untuk menerima warga asing yang diusir dari Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menteri Hal Ehwal Luar Uganda Henry Okello Oryem memberitahu Anadolu bahawa negara itu tidak pernah memeterai perjanjian pengusiran dua hala dengan AS dan tidak mempunyai kapasiti untuk menempatkan warga asing yang diusir itu.

“Setakat pengetahuan saya, kami tidak pernah mencapai perjanjian sedemikian. 

“Kami tidak mempunyai kapasiti untuk menempatkan warga asing yang diusir dari Amerika Syarikat ke Uganda,” kata menteri itu.

Pada Selasa lalu, CBS News melaporkan Uganda telah bersetuju dengan AS untuk menerima migran dari Afrika dan Asia yang diusir selepas memohon suaka di sempadan AS-Mexico.

Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga negara Afrika – Sudan Selatan, Rwanda dan Eswatini – telah bersetuju untuk menerima migran yang diusir dari AS.

Bulan lepas, AS menghantar 13 individu yang disifatkannya sebagai penjenayah berbahaya dan berada di AS secara haram ke Sudan Selatan dan Eswatini.

Pentadbiran berhasrat untuk mengusir jutaan pendatang di AS ke negara ketiga.

-Bernama



Source link