Malaysia Oversight

Kanak-kanak tidak kebal, liabiliti jenayah tetap terpakai -JPM

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari menyatakan bahawa kanak-kanak berumur bawah 18 tahun tidak bebas daripada liabiliti jenayah atas perbuatan mereka.

Perkara itu diperincikan dalam satu set Soalan Lazim (FAQ) yang menjelaskan tentang pemakaian Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Ia mengesahkan bahawa Akta Kanak-Kanak menyediakan rangka kerja prosedur perlindungan, tetapi tidak mengecualikan individu bawah umur daripada dihukum atas perbuatan jenayah di bawah undang-undang punitif utama.

“Kanun Keseksaan dan undang-undang punitif lain tidak mengecualikan mana-mana individu daripada liabiliti jenayah,” kata kenyataan itu, sambil menegaskan bahawa setiap individu bertanggungjawab atas perbuatan jenayah mereka, termasuk kanak-kanak.

Ini bermakna kanak-kanak yang melakukan jenayah masih boleh dituduh dan dihukum di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.

FAQ itu menjawab kebimbangan bahawa Akta Kanak-Kanak mungkin melindungi pesalah kanak-kanak dengan menyatakan: “Adakah Akta Kanak-Kanak menghalang pelaku buli daripada dihukum? Tidak. Mana-mana pesalah laku kanak-kanak masih boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan.”

Ia turut menekankan perbezaan dalam cara kes-kes ini dikendalikan.

Proses undang-undang bagi seorang kanak-kanak yang dituduh melakukan jenayah dikawal oleh Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperkenalkan perbezaan daripada prosedur mahkamah jenayah biasa yang mengutamakan kebajikan dan pemulihan kanak-kanak.

Salah satu ciri utama ialah penubuhan Mahkamah bagi Kanak-Kanak. Mahkamah ini diketuai oleh seorang majistret yang dibantu dan dinasihati oleh dua orang penasihat panel, di mana seorang daripadanya mesti seorang wanita.

Selain itu, Akta Kanak-Kanak mewajibkan perlindungan terhadap hak dan maruah kanak-kanak.

Ia juga menyebut semua prosiding mesti dijalankan secara tertutup untuk menjaga kerahsiaan dan kebajikan kanak-kanak. Seksyen 15 akta itu juga melarang pendedahan identiti kanak-kanak kepada umum, termasuk oleh media.



Source link