Dua kumpulan mahasiswa merancang satu protes bagi menuntut peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek atas dakwaan gagal menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir serta mengutamakan perbelanjaan pendidikan yang tersasar.
Protes itu di hadapan ibu pejabat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Putrajaya, dijadualkan esok, pada jam 10.30 pagi.

Dalam satu kenyataan bersama, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) dan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram) berkata, kematian tragis Zara Qairina telah mendedahkan kewujudan budaya buli, pengabaian, serta gangguan seksual di sekolah.
“Namun sehingga kini, KPM masih gagal memberikan penyelesaian tuntas. Sebaliknya, jutaan ringgit dibazirkan untuk projek sia-sia seperti pin Jalur Gemilang bernilai RM8.4 juta, sementara keselamatan sekolah masih longgar, guru dan warden tidak terlatih menangani krisis, dan murid terus menjadi mangsa.
“Apa yang ditawarkan hanyalah slogan kosong anti-buli, insentif sifar buli, dan acara retorik seperti ‘We love you PMX, happy birthday’ – yang langsung tidak menyelamatkan nyawa anak-anak kita.
“Oleh itu, Gamis dan Haram menyeru rakyat Malaysia untuk bersama kami dalam protes #ResignFadhlina bagi menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan atas kegagalannya memimpin reformasi pendidikan negara,” kata kumpulan tersebut.
Fadhlina kebelakangan ini menerima kritikan berhubung pengendalian kes kematian Zara Qairina yang melibatkan kakitangan sekolah mangsa, selain pendedahan di Parlimen mengenai perbelanjaan program lencana Jalur Gemilang untuk pakaian seragam sekolah yang menelan kos RM8.4 juta.

Ahli Parlimen Nibong tebal itu turut dikritik selepas tular video di media sosial yang memaparkan dia mengajak pelajar mengucapkan “Happy Birthday PMX, We Love You” kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-78 pada 10 Ogos lalu.
Sebelum ini bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, turut bersuara dengan mengkritik Fadhlina kerana mengetuai pelajar sekolah melaungkan ucapan hari lahir tersebut.
Bekas menteri ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan sekolah sepatutnya menjadi ruang neutral yang ditumpukan kepada penyampaian ilmu, pembentukan nilai dan pembangunan sahsiah, bukannya dijadikan platform ekspresi politik.
Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol, semalam menggesa kerajaan menilai semula perbelanjaan menyediakan lencana bendera tersebut.
Dalam kenyataannya, Mordi berkata pelajar tidak seharusnya menjadi mangsa akibat keutamaan kerajaan yang tersasar.
Dia menyuarakan kebimbangan berhubung perbelanjaan RM8.4 juta oleh KPM untuk lencana bendera, berbanding hanya RM3 juta yang diperuntukkan bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa sekolah berasrama terpilih.