Bagi sebahagian besar belia Melayu, demokrasi Malaysia kini tidak lebih daripada permainan kuasa elit politik yang jauh daripada realiti hidup rakyat.
Ini antara dapatan utama laporan Iman Research bertajuk “Orang Kita: Politik Pengiktirafan dan Kekecewaan” yang mendedahkan bagaimana kekecewaan dan sinisme terhadap politik kian menebal selepas PRU ke-15.
Responden yang ditemu bual mendakwa sama ada kerajaan mahupun pembangkang gagal mengutamakan rakyat. Mereka hanya melihat perebutan kuasa, percaturan langkah politik, dan korjasama yang mengorbankan prinsip.
Menurut kajian berkenaan, beberapa responden menyatakan bahawa mereka tidak lagi berminat dengan politik atas dua sebab utama: persengketaan berterusan di kalangan kelas politik, terutamanya antara pihak kerajaan dan pembangkang.
Kajian itu menunjukkan belia Melayu percaya pihak pembangkang dilihat kurang serius melaksanakan peranan semak dan imbang terhadap kerajaan, dan sebaliknya kelihatan taasub untuk merampas kuasa.
“Kurangnya perbincangan serius mengenai tadbir urus dan dasar oleh pihak pembangkang melainkan fokusnya untuk menggulingkan kerajaan.
“Sebaliknya, kerajaan sibuk mempertahankan diri menentang pembangkang dan bukannya mentadbir. Situasi pergeseran politik yang berterusan ini adalah apa yang dianggap sebagai ‘ketidakstabilan politik’, yang mereka percaya boleh menjejaskan kestabilan ekonomi kerana pelabur atau perniagaan tidak dapat beroperasi dengan efektif dalam persekitaran yang tidak stabil,” menurut laporan Iman Research yang dilancarkan di Muzium Telekom, Kuala Lumpur hari ini.
Laporan itu disediakan oleh Aziff Azuddin, Dina Zaman, Dr. Mohd Al Adib Samuri bersama pasukan penyelidik Aziff Azuddin, Rabiatul Adawiyah Yusoff, Farah Ilyana Mohd Anuar, Yap Ern See dan Dayana Batrisya Mohamed Nasir.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa golongan belia percaya janji kerajaan hari ini kepada mereka telah dimungkiri.
“Ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang, gabungan itu telah menjanjikan reformasi institusi dan penambahbaikan ekonomi yang menyeluruh sekiranya mereka mendapat mandat.
“Ramai responden menyatakan kekecewaan kerana kerajaan telah memungkiri janji mengenai reformasi itu, memetik bagaimana kes Timbalan Perdana Menteri dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sama ada dilepaskan atau dibebaskan daripada banyak pertuduhan rasuahnya, sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Walaupun kerajaan sekarang adalah ‘kerajaan perpaduan’, responden menumpukan perhatian kepada kenyataan-kenyataan dari gabungan Pakatan Harapan sebelum ini tentang reformasi. Mereka membandingkannya dengan situasi di mana Pakatan Harapan telah membuat konsesi politik dengan rakan Barisan Nasional mereka,” katanya.
Menurut laporan itu, belia Melayu juga merasa terpinggir secara ekonomi akibat gaji stagnan, kos hidup tinggi, dan peluang pekerjaan terbatas, terutama di luar bandar. Mereka percaya pertumbuhan ekonomi hanya menguntungkan golongan elit dan bandar.
“Banyak belia boleh dianggap sebagai miskin tegar di Kedah. Kos sara hidup tinggi tapi gaji masih rendah. Kalau nak cerita pasal pekerjaan, banyak yang turun ke Selatan sebagai contoh Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor.
“Di sini (Kedah), gaji rendah, peluang pekerjaan sangat rendah, ataupun tahap gaji yang diminta kena reject. Jadi, keusahawanan jadi pilihan default. Tapi itulah, kos operations mahal dan akhirnya banyak anak muda hijrah ke luar negeri kerana ada peluang yang lebih baik di sana,” kata seorang responden dari Kedah.
Selain itu, ramai responden juga menyatakan sukar untuk memasuki ruang pekerjaan. Mereka khuatir tentang peningkatan pengangguran belia walaupun statistik kerajaan menunjukkan kadar pengangguran telah menurun secara berterusan (3.2 peratus pada masa laporan ini) sejak berakhirnya pandemik Covid-19.
“Sentimen pasaran pekerjaan yang mencabar ini adalah perkara biasa di kalangan responden di luar Lembah Klang, dengan sesetengahnya menyatakan perbezaan tentang ekonomi bandar-luar bandar atau ketidaksamarataan pembangunan.
“Ketidaksamarataan ini dicerminkan dalam statistik masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah atau jenayah seksual yang lebih berleluasa di pemukiman luar bandar disebabkan oleh kurangnya penekanan terhadap pertanian (kerana itu, pengurangan peluang pekerjaan) dan kekurangan pembangunan yang tertumpu di pemukiman tersebut,” dedah kajian itu.
Kebanyakan belia Melayu melahirkan rasa tidak puas hati dan tidak yakin terhadap kerajaan kerana keterbatasan tadbir urus yang baik. Ramai berkongsi kesukaran mengakses sumber kelolaan institusi, termasuk bantuan kerajaan.
Mereka yang terlibat dalam bidang keusahawanan turut berkongsi bagaimana mereka tidak mendapat sokongan, dan pengumuman bantuan biasanya sukar diakses di peringkat bawahan. Birokrasi, rasuah dan kekurangan pengawasan membatasi permintaan untuk memenuhi tujuan asas.
Seorang responden dari Sabah membangkitkan isu jalan di negeri itu sebagai perbandingan:
“Jalan di Sabah berlubang teruk! Dalam setahun, tak ada apa-apa perubahan. Tapi bila [mantan] Agong datang semasa Jelajah Borneo, jalan itu tetiba elok. Boleh disiapkan dalam masa dua, tiga hari.
“Tapi di Kuala Lumpur, dalam 5 jam selepas aduan, boleh diperbaiki. Jadi saya musykil bagaimana dana yang dah diperuntukkan diguna oleh kuasa tempatan. Kerajaan dah bagi duit, tapi tak terhasil,” katanya.
Kajian ini melibatkan golongan belia Melayu berumur 18 hingga 35 tahun di seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya di ‘Kubu Melayu’ atau ‘Malay Heartland’, melalui temu bual mendalam dengan 105 responden dari pelbagai latar belakang.
Antara isu lain disentuh adalah polarisasi kaum, kegagalan sistem pendidikan, peranan media sosial dan celik politik, kurangnya perwakilan belia dalam politik, dan ketidaksamarataan pembangunan wilayah.
Mereka mencadangkan mewujudkan ruang fizikal untuk membina komuniti dan ruang bersuara, serta memperkenal dan melaksanakan reformasi ekonomi yang menyasarkan belia.