PASIR MAS: Sebanyak 36 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang menaiki sebuah bas persiaran sewa khas ditahan sepasukan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am di Kampung Serongga, dekat sini, awal pagi tadi.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan itu hasil maklumat risikan yang diterima pada 12 tengah malam sebelum bas terbabit berjaya dipintas pada 6.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua penumpang berusia 20-an hingga 40-an, manakala pemandu lelaki tempatan berusia 37 tahun yang juga pemilik bas persiaran turut ditahan.
“Daripada jumlah itu, empat memiliki pasport tetapi tiada cop kemasukan sah ke Malaysia, seorang mempunyai pasport tamat tempoh manakala 31 lagi tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata siasatan awal mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada 34 lelaki dan dua wanita itu dibawa dari sebuah kilang di Meru, Klang dengan alasan untuk ke sebuah kilang beras di Rantau Panjang, yang sebenarnya tidak wujud.
Menurut Nik Ros Azhan, bayaran 2,300 ringgit bagi perkhidmatan bas berkenaan dipercayai dibayar oleh majikan melalui transaksi tanpa tunai.
Beliau berkata semua warga asing terbabit disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala pemandu bas disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 kerana disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran.
“Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya. – Bernama