Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak susulan terbongkarnya satu kumpulan dikenali sebagai “Geng Budak Sekolah”.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan yang dikendalikan Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) itu, perlu dilaksanakan berhati-hati kerana ia melibatkan kanak-kanak.
“Cara menguruskan kes kanak-kanak ini ada kaedahnya. Gambar tak boleh dikongsi, nama tak boleh disebut dan segala macam. Menguruskan kes yang melibatkan kanak-kanak dan seumpama ini satu proses rumit yang kita kena faham,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat KDN serta Majlis Perhimpunan Bulanan KDN Bagi Bulan Ogos 2025 di Putrajaya hari ini.
Ditanya jika ada kemungkinan wujud dalang di sebalik kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah seksual itu, beliau berkata perkara berkenaan masih belum dapat dipastikan lagi.
Saifuddin Nasution berkata modus operandi kumpulan itu, menggunakan platform WhatsApp untuk menjual bahan lucah dalam kalangan lebih 700 ahlinya.
“Siasatan masih kita buat dan tentulah mengambil masa lebih sedikit tapi sekurang-kurangnya kita tahu modus operandinya bagaimana.
“Tujuannya apa? Ada dorongan untuk mendapatkan itu sebagai sumber pendapatan, tapi dia marketing di dalam group saja … ,” kata beliau.
Saifuddin Nasution pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam, memaklumkan polis menumpaskan satu kumpulan dikenali sebagai “Geng Budak Sekolah” yang terlibat dalam jenayah seksual, termasuk membabitkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
– Bernama