Malaysia Oversight

Pemimpin Bersatu bebas lepas bayar kompaun RM4.1 juta

By MkiniBM in August 20, 2025 – Reading time 2 minute
Pemimpin Bersatu bebas lepas bayar kompaun RM4.1 juta


Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membebaskan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, daripada lima pertuduhan rasuah dan tujuh tuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Pembebasan itu selepas ahli politik tersebut membayar kompaun berjumlah RM4.1 juta pada Isnin, lapor portal berita FreeMalaysiaToday.

Portal itu memetik timbalan pendakwa raya Farah Yasmin Salleh yang memaklumkan kepada Hakim Suzana Hussin bahawa pihak pendakwaan menerima surat representasi Adam, yang menawarkan untuk membayar kompaun di bawah Seksyen 92(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfapuaa).

Pada Februari 2023, Adam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah berbentuk wang tunai antara 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek pembinaan jalan bernilai RM47.8 juta daripada Pengarah Urusan MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat.

Dia juga dituduh menerima rasuah RM500,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek yang sama daripada melalui rundingan terus.

Projek tersebut melibatkan laluan dari Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat di Perlis.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah restoran di Dutamas, Kuala Lumpur dan di cawangan CIMB Bank Bukit Tunku di Taman Tunku, Kuala Lumpur pada Mac 2021 dan 26 Nov 2021.

Adam turut didakwa dengan dua pertuduhan menerima suapan RM4.1 juta daripada Lian Tan Chuan dan Mat Jusoh bagi membantu Nepturis Sdn Bhd dan MIE memperoleh dua projek serupa di bawah Jana Wibawa.

Dia juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan meminta rasuah RM2 juta daripada Lian sebagai dorongan untuk membantu Nepturis mendapatkan projek berkaitan Jana Wibawa.

Kelima-lima pertuduhan rasuah itu difailkan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Adam juga berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfapuaa.

[Laporan lanjut menyusul]



Source link