Seorang pemimpin Pejuang mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim membenarkan SPRM mengarahkan pengisytiharan aset ke atas individu tertentu yang menjadi kaya selepas dia berkuasa.
Ini susulan kenyataan Anwar di Dewan Rakyat semalam, berkata SPRM hanya boleh mendakwa dua daripada lapan Adun Sabah yang terbabit dalam akta skandal rasuah lesen melombong kerana mereka memerlukan “kes yang kuat” di mahkamah.
Dalam satu kenyataan, Ketua Penerangan Pejuang Muhammad Rafique Rashid Ali membidas perdana menteri dan menuduhnya mengamalkan ‘pilih bulu’.
Peguam itu membandingkan kenyataan Anwar dengan kes baru-baru ini membabitkan seteru politik Anwar, termasuk siasatan menyeluruh SPRM terhadap bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, dan dakwaan Anwar bahawa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengumpul kekayaan untuk memperkayakan dirinya semasa berkuasa.
“Perdana menteri seolah-olah selektif amnesia. Pilih bulu. Double standard.
“Kalau betul mahu adil, sahut cabaran. Biar SPRM keluar Notis Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 kepada semua orang yang tiba-tiba mendadak jadi ahli perniagaan berjaya pada usia muda lepas Anwar jadi perdana menteri..
“Atau perlu juga kes kuat?” katanya.
Walaupun Rafique tidak menyebut sebarang nama, dipercayai dia menyasarkan bekas setiausaha politik Anwar Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, yang dikatakan menjadi ahli perniagaan yang berjaya selepas Anwar berkuasa.
Sebelum ini, bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli juga menggesa SPRM menyiasat Farhash.
Semalam, Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa SPRM memutuskan untuk mendakwa hanya dua Adun Sabah yang terbabit dalam skandal itu kerana mereka mesti memberi tumpuan kepada kes yang cukup kuat untuk pendakwaan.