EMPAT tahun menceburi industri hiburan tanah air, pelakon, Syazani Zikry mengakui mahu mencuba nasib mengembangkan bakat lakonan menerusi drama-drama bersiri di kaca televisyen.
Kerap membintangi naskhah-naskhah di layar perak, Syazani menganggap impian tersebut seakan mustahil untuk dicapai kerana dirinya sudah bergelar pelakon filem.
“Sejak menceburi dunia lakonan, saya memang sudah mulakan kerjaya saya dengan membintangi filem. Sebelum itu saya pernah menjadi pelakon teater.
“Saya pernah menyimpan angan-angan untuk membintangi drama-drama bersiri di televisyen. Malah, saya juga tidak begitu memilih dalam sebarang tawaran.
“Mungkin, ada sesetengah produksi sudah mempunyai stereotaip bahawa saya adalah pelakon filem. Jadi mereka tidak mahu mengambil saya untuk berlakon drama.
“Namun, saya bersyukur dengan kerjaya saya kini dan menganggap inilah rezeki saya, Alhamdulillah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa sama, pelakon yang berusia 27 tahun itu mengakui dirinya sentiasa mencari peluang untuk memperbaiki bakat lakonannya meskipun wajahnya sudah terbiasa terpampang di layar perak.
Malah, pelakon yang semakin meningkat naik itu juga tidak tergugat dengan pencapaian beberapa pelapis baharu yang kini portfolio mereka lebih kukuh kerana banyak membintangi drama bersiri.
“Sebagai seorang pelakon, saya sentiasa mencari peluang untuk belajar dan memperbaiki kekurangan diri saya. Saya mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang versatile.
“Oleh sebab itu juga saya perlu berusaha keras untuk melihat semula cara lakonan saya dalam naskhah yang dilakonkan supaya dapat perbaiki demi terus kekal dalam industri.
“Saya tidak terasa hati jika ada sesetengah pelakon baharu popularitinya sudah mendahului saya. Saya percaya kerjaya saya juga berjalan dengan baik meskipun agak perlahan,” jelasnya.
ANGKAT TONJOL SISI BERBEZA
Muncul menerusi filem Angkat, Syazani mengakui naskhah arahan Feisal Azizudin itu menonjolkan sisi berbezanya berbanding watak layar perak yang pernah dijayakannya.
Kata Syazani, dia yang menjayakan watak ‘lelaki lembut’ menerusi naskhah tersebut perlu membuat ulang kaji untuk menguasai karakter itu supaya jalan ceritanya lebih hidup.
“Bagi saya watak menerusi filem ini agak mencabar kerana saya perlu menjadi ‘lelaki lembut’. Saya banyak buat latihan dan ulangkaji cara untuk membawakan watak itu.
“Pada awalnya memang susah dan agak mencabar untuk saya. Lebih susah kerana saya perlu kekalkan suara dan pembawakan watak tersebut. Namun, lama-kelamaan rasa kekok itu hilang,” ceritanya.
Selain Syazani, filem tersebug juga dibintangi barisan pelakon muda yang lain seperti Firdaus Karim, Sky Iskandar dan Sara Mack Lubis.
Dalam masa sama, Syazani mengakui dirinya tidak mempunyai sebarang masalah dalam mencipta keserasian bersama mereka menerusi filem yang bakal ditayangkan pada 14 Ogos ini.
“Untuk merealisasikan penceritaan filem tersebut, pada saya mencipta keserasian dalam sesebuah naskhah itu sangat penting.
“Selepas melalui beberapa kali sesi membaca skrip dan berlatih dengan pengarah, segalanya mudah untuk kami. Saya juga ada mengambil inisiatif untuk meminta nasihat beberapa guru lakonan saya,” ujarnya.-UTUSAN