Malaysia Oversight

Permohonan larangan bersuara kes dokumen tambahan Najib didengar 19 Sept

By MkiniBM in August 19, 2025 – Reading time 3 minute
Permohonan larangan bersuara kes dokumen tambahan Najib didengar 19 Sept


Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menetapkan 19 Sept depan untuk mendengar permohonan perintah larangan bersuara oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menghalang mana-mana pihak daripada membincangkan isu berkaitan permohonan semakan difailkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perintah itu berhubung kewujudan dokumen tambahan yang didakwa membolehkan bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

Hakim Alice Loke Yee Ching turut menetapkan tarikh sama (19 Sept) untuk mendengar permohonan Najib bagi meminda semakan kehakiman bagi memasukkan bukti tambahan dalam permohonan tersebut.

“Pihak-pihak terlibat perlu memfailkan hujahan bagi permohonan pindaan pada atau sebelum 5 Sept ini,” kata hakim itu pada prosiding pengurusan kes dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib.

AGC memfailkan permohonan perintah larangan bersuara itu pada 20 Jan lepas, atas alasan kes berkenaan menyentuh isu sensitif.

Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes berkenaan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit selepas menolak permohonan Peguam Negara merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung dokumen tambahan tersebut.

Mahkamah Persekutuan turut membenarkan bukti tambahan berkaitan afidavit anak Najib iaitu Datuk Mohamad Nizar berhubung surat dari Majlis Kesultanan Pahang bertarikh 4 Jan tahun ini dimasukkan bagi menyokong kewujudan dokumen tambahan itu.

Pada 6 Jan lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi untuk pendengaran mengenai meritnya selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran mahkamah bagi memulakan semakan kehakiman.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan , Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Pada 3 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib termasuk kenyataan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dianggap sebagai khabar angin dan tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

– Bernama



Source link