Malaysia Oversight

KKR nafi projek lebuh raya lewat sebab amalan ‘kawtim’, anugerah politik

By MkiniBM in August 19, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Kementerian Kerja Raya (KKR) menafikan kelewatan beberapa projek sakit termasuk Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah berpunca daripada amalan ‘kawtim’ atau pemberian kontrak atas dasar politik. 

Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata dakwaan itu hanya persepsi dan tuduhan semata-mata.

Bagaimanapun, Ahmad mengakui ada menegur kontraktor yang gagal melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan sedia ada semasa kerja-kerja pembinaan, dengan mengambil contoh tinjauannya di salah satu pakej dari Kelupit ke Sandakan baru-baru ini, yang mendapati jalan tidak diselenggara dengan baik. 

“Jika kontraktor tidak menyelenggara dengan baik maka Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah boleh melantik kontraktor lain untuk menyelenggara jalan itu dan (kos penyelenggaraan) dipotong daripada kos yang telah dianugerahkan kepada kontraktor berkaitan.

“…tapi setakat ini, belum lagi kita buat. Kita sedang memantau rapi dan memberikan amaran supaya jalan diselenggara dengan baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

ac038b2dd8f5f211777d58cdbdc63e12
Ahmad Maslan

Ahmad menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang memohon pengesahan kementerian berhubung dakwaan wujudnya amalan ‘kawtim’ sehingga projek-projek seperti pembinaan lebuh raya terbengkalai dan bermasalah.

Menjawab soalan asal Matbali Musah (GRS-Sipitang) berkaitan status terkini pembinaan LPB khususnya di Sipitang, Ahmad berkata setakat 31 Julai lepas, kemajuan fizikal Pakej 1 dari Sindumin ke Melalia sepanjang 28.5 kilometer (km) dan Pakej 2  (Melalia-Beaufort melibatkan 34.7 km) mengalami kelewatan.

Kedua-dua pakej itu sebahagian daripada 35 pakej kerja projek lebuh raya berkenaan yang berjarak keseluruhan 706 km.

“Skop kerja bagi pakej di Sipitang merangkumi pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong, pembinaan jambatan baru, naik taraf sistem saliran serta penambahbaikan infrastruktur keselamatan jalan raya.

“Hingga 31 Julai, kemajuan fizikal Pakej 1 mencapai 84.22 peratus berbanding jadual asal 87.43 peratus, iaitu lewat sebanyak 3.21 peratus. Pakej 2 pula berada pada tahap 58.14 peratus berbanding sasaran 60.89 peratus, dengan kelewatan 2.75 peratus,” katanya.

Faktor utama kelewatan adalah keadaan cuaca tidak menentu, musim hujan berpanjangan, isu pengambilan balik tanah yang kini telah diselesaikan serta kekurangan tenaga kerja.

“Bagaimanapun, kementerian menyasarkan kedua-dua fasa projek (Fasa 1A dan 1B) dapat disiapkan masing-masing menjelang suku pertama 2027 dan Oktober 2028, tertakluk kepada kelancaran kerja di lapangan,” katanya.

-Bernama



Source link