Bekas timbalan menteri undang-undang, Hanipa Maidin, menyatakan sokongannya terhadap kempen Muda untuk membuka semula tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika Umno menuduh parti itu mencampuri urusan kehakiman dan bersikap oportunis politik.
Dalam kenyataan hari ini, Hanipa berkata Muda “berhak sepenuhnya” untuk melancarkan kempen pendakwaan semula itu dengan merujuk prinsip undang-undang bahawa satu kes prima facie telah pun dibuktikan terhadap Ahmad Zahid sebelum dia diberikan pelepasan tanpa dibebaskan (DNAA) pada Sept 2023.
“Apabila Zahid diarahkan membela diri atas 47 pertuduhan jenayah, itu bermakna — dari sudut undang-undang — pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya,” kata Hanipa sambil menyifatkan permohonan DNAA selepas itu sebagai “membingungkan” memandangkan kedudukan pihak pendakwaan yang kukuh.
Peguam berpengalaman itu menambah, apabila mahkamah memutuskan wujud kes prima facie, “ada kebarangkalian tinggi tertuduh akan didapati bersalah kecuali dia dapat mengemukakan pembelaan yang kukuh.”
“Oleh itu, pada pandangan saya, Muda mempunyai hak penuh untuk melancarkan kempen pendakwaan semula terhadap Ahmad Zahid,” katanya.
Pada 2023, Ahmad Zahid diberikan DNAA atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi walaupun sudah diarahkan membela diri.
Pihak pendakwaan – yang diketuai Mohd Dusuki Mokhtar ketika itu – memohon DNAA dengan alasan pasukannya memerlukan lebih masa untuk melengkapkan siasatan secara menyeluruh.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah, meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pihak pendakwaan, sambil menambah bahawa wang pembayar cukai akan dibazirkan jika kes Ahmad Zahid akhirnya digugurkan.
Siang tadi Muda mengumumkan kempen menuntut Jabatan Peguam Negara (AGC) membuka semula kes Yayasan Akalbudi.
Pemangku presiden parti itu, Amira Aisya Abdul Aziz, berkata kempen itu penting kerana rakyat berhak mengetahui kebenaran, dan rakyat Malaysia ingin tahu “bagaimana orang dalam kerajaan boleh terlepas begitu sahaja.”
Katanya, kempen itu akan melibatkan siri demonstrasi, ceramah, dan jelajah ke seluruh negara.
Dua pemimpin Umno Johor menolak keras langkah Muda itu dengan ketua penerangannya, Md Israk Abdullah, memberi amaran bahawa parti itu berisiko “menghakis keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara.”
Md Israk menegaskan DNAA adalah satu proses sah yang diputuskan mahkamah selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Dia juga mengingatkan Muda agar tidak menggantikan keputusan kehakiman dengan “tekanan politik atau retorik.”
“Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dengan sistem perundangan lengkap dan dihormati. DNAA dibuat oleh mahkamah setelah menilai hujahan yang dikemukakan,” katanya.
Israk turut menasihati Muda agar tidak “menyemai kebencian tidak berasas” sebaliknya memberi tumpuan kepada “politik matang berasaskan fakta.”
Pada masa sama dia menasihatkan Amira Aisya supaya menumpukan khidmat kepada pengundi di kawasannya, bukannya mengejar populariti nasional melalui retorik yang memecahbelahkan.
Timbalan Ketua Pemuda Umno Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, pula menuduh Muda mengamalkan dwistandard apabila menuntut kes Ahmad Zahid dibuka semula, tetapi berdiam diri terhadap prosiding undang-undang melibatkan presiden mereka sendiri, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Ambil sahaja kes melibatkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebagai contoh.
“Walaupun dia didakwa dan disabitkan, tiada siapa cuba mempolitikkan keputusan itu. Semua menerima bahawa badan kehakiman kita bebas dan berintegriti.
“Tindakan memilih hanya kes tertentu untuk dipersoalkan, tetapi menutup mata apabila melibatkan pemimpin sendiri, jelas menunjukkan sikap dwistandard yang tidak membantu mengukuhkan keyakinan awam terhadap sistem keadilan,” kata Aswad.