Malaysia Oversight

Atmane hadiahkan kad Pokemon kepada Sinner 

By Utusan in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Atmane hadiahkan kad Pokemon kepada Sinner 


CINCINNATI: Pemain tenis dari Perancis, Terence Atmane memastikan hari jadi ke-24 Jannik Sinner menjadi kenangan manis apabila menghadiahkan bintang No. 1 dunia itu sekeping kad Pokemon sebelum tewas dalam pertemuan separuh akhir mereka di Terbuka Cincinnati, Sabtu lalu.

Pilihan utama dan juara bertahan, Sinner, menamatkan kemaraan Atmane yang layak melalui pusingan kelayakan di kejohanan Masters 1000 itu dengan kemenangan 7-6(4), 6-2.

Sebelum perlawanan, kedua-dua pemain dilihat berbual di terowong menuju ke gelanggang utama di mana Atmane menyerahkan kad koleksi berdasarkan siri permainan video dan rancangan televisyen Jepun yang popular itu.

“Hari ini (Sabtu lalu) hari jadinya, jadi saya rasa saya perlu berikan sesuatu kepadanya.

“Saya berfikir malam tadi tentang apa yang patut saya beri kepadanya. Saya terfikir, ‘Saya rasa saya masih ada beberapa kad Pokemon yang saya bawa dari Perancis. Kenapa tidak beri saja sekeping kad Pokemon?’ Saya memang pengumpul kad Pokemon. Saya rasa itu hadiah yang sempurna.

“Kalau itu hari jadi saya, saya akan sangat gembira kalau seseorang beri saya kad Pokemon,” kata Atmane.

Sementara itu, Sinner, yang turut dinyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ oleh penonton berkata, dia berasa terharu dan sedikit keliru dengan hadiah tersebut.

“Saya berbual sedikit dengannya di bilik persalinan. Dia memiliki salah satu koleksi kad Pokemon terbesar dan saya sangat bertuah kerana dapat salah satu kad miliknya.

“Ia satu detik yang indah sebelum perlawanan, kami langsung tak mengenali antara satu sama lain. Jadi, ia satu detik yang menyenangkan. Kad itu sejenis Pikachu. Ia tertulis ‘30 kerosakan kepada diri sendiri’, jadi saya tak pasti sama ada itu bagus atau tidak!,” katanya. – AGENSI





Source link