Pengumuman pengerusi PN Muhyiddin Yassin awal hari ini mengenai gabungan longgar pembangkang merupakan “perkembangan positif” untuk demokrasi Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Hassan berkata kemunculan dua blok politik besar — 12 parti di pihak pembangkang dan 18 parti dalam kerajaan — akan membantu mewujudkan suasana “aman” menjelang PRU16.
Menurutnya, gabungan pembangkang kini bukan sahaja merangkumi parti berasaskan Melayu tetapi juga Gerakan sebagai parti pelbagai kaum berasaskan Cina, parti berasaskan India, serta Muda.
“Dengan gabungan parti-parti pembangkang ini merangkumi semua kaum dan agama maka masing-masing akan meninggalkan retorik dan naratif politik kaum dan agama yang sempit.

“Semuanya akan memilih untuk mencari jalan tengah yang lebih sederhana dalam pendekatan politik mereka,” katanya.
Blok pembangkang itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Malaysian Indian People’s Party (MIPP), Putra, People’s Progressive Party (PPP), Berjasa, PSM, Malaysian Advancement Party (MAP), dan National Indian Muslim Alliance Party (Iman).
Ia juga merangkumi Urimai yang masih belum didaftarkan secara sah sebagai sebuah parti politik.
Hassan merujuk kepada perang mulut Umno dan DAP berhubung kontroversi “bendera terbalik” sambil memberi amaran ia boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, sayap negeri Pemuda DAP menggesa hubungan diputuskan dengan ketua Pemuda PKR Dr Akmal Nasir selepas dia mengetuai himpunan membantah seorang pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Akmal, yang sedang disiasat atas tuduhan hasutan, menganjurkan himpunan itu dan mengeluarkan beberapa kenyataan selepas pemilik kedai tersebut dirakam menggantung bendera kebangsaan secara terbalik.
Sementara itu, Hassan menyifatkan pentadbiran Madani sebagai “kerajaan pertama benar-benar berbilang kaum dan berbilang agama sejak Merdeka”.
“Kelebihan yang ada bagi gabungan parti kerajaan Madani ialah gabungan mereka lebih mantap dan teruji dalam tempoh hampir tiga tahun ini manakala gabungan 12 parti pembangkang di bawah pimpinan Muhyisdin Yassin masih longgar dan di peringkat percubaan lagi,” katanya.

Hassan turut membandingkan potensi manfaat pakatan pembangkang — yang menumpukan pada isu ekonomi, kewangan awam, pentadbiran kerajaan, rasuah, kos sara hidup, cukai dan subsidi — dengan pertelagahan semasa antara Umno dan DAP dalam blok kerajaan.
“Yang banyak membantu kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim setakat ini kerana kerajaan Madani dilihat sederhana, tidak perkauman, menekankan keadilan sosial untuk semua rakyat seperti yang tersurat dan tersirat dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas RMK-13 iaitu kerajaan Madani akan memperkenalkan dasar ekonomi yang lebih adil dan inklusif untuk semua rakyat dengan beranjak dari dasar penyelesaian ekonomi berasas kaum kepada penyelesaian ekonomi berasaskan keperluan sebenar rakyat tanpa mengira apa kaum mereka.
“Tegasnya keadilan untuk semua. Resepi politik inilah yang memberikan kelebihan kepada parti-parti pendukung kerajaan Madani ini akan beroleh kemenangan dan disokong rakyat semua lapisan dalam PRU16 akan datang sekiranya perbalahan sia-sia antara Pemuda Umno dan Pemuda DAP dapat didamaikan seberapa cepat mulai sekarang sebelum rakyat Malaysia di seluruh negara berasa muak kepada kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” kata Hassan lagi.