Dua lelaki maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika mereka mengisi minyak van dinaiki di bahu jalan di KM84.6 Jalan Kuala Kangsar-Gerik-Pengkalan Hulu, semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima laporan kemalangan membabitkan sebuah van jenis Nissan Vanette serta sebuah kereta Proton Wira dan Proton Preve itu kira-kira jam 9.15 malam.
“Hasil siasatan mendapati van dipandu lelaki berusia 45 tahun dan dinaiki dua lelaki berumur 18 dan 30 tahun itu telah berhenti di bahu jalan dari arah Kuala Kangsar ke Gerik kerana kehabisan minyak.
“Semasa pemandu dan penumpang berusia 18 tahun itu berada di tepi jalan sebelah kanan van untuk mengisi minyak, datang Proton Wira dipandu lelaki berusia 19 tahun bersama dua penumpang berusia 19 tahun dari arah yang sama telah mengelak ke kiri dan hampir melanggar sebuah kereta Preve,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata tindakan pemandu Proton Wira itu menyebabkan pemandu Proton Preve terbabit – iaitu lelaki berusia 60 tahun dan membawa seorang penumpang berusia 36 tahun – melanggar pemandu dan penumpang van yang sedang mengisi minyak di tepi jalan.
“Pemandu dan penumpang van itu cedera parah.
“Penumpang van disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandunya meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Gerik.
“Seorang lagi penumpang van serta dua pemandu dan semua penumpang kereta yang terlibat tidak mangalami sebarang kecederaan,” katanya.
Abdul Samad menambah kes kemalangan itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
– Bernama