Malaysia Oversight

Hannah yakin wakil negara mampu menyinar di Kejohanan Dunia

By Utusan in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Hannah yakin wakil negara mampu menyinar di Kejohanan Dunia


: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan pemain badminton negara untuk mencipta kejayaan pada Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Paris dari 25 hingga 31 Ogos ini.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau percaya pemain yang berada dalam Program Road To Gold (RTG) memiliki kemampuan terbaik untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Namun, Hannah turut berharap pemain negara tidak terlalu memaksa diri sekiranya mengalami kecederaan bagi mengelak perkara tidak diingini sekali gus menjejaskan peluang beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

“Saya yakin pemain badminton kita boleh beraksi baik di pertandingan itu tetapi saya juga berharap pemain tidak terlalu berada dalam keletihan kerana kita tahu kalendar badminton sangat padat.

“Macam mana pun, mereka perlu terus bermain untuk berada dalam RTG dan saya selalu mendoakan agar tiada sebarang kecederaan kepada atlet kita kerana itu akan menyukarkan banyak pihak,” katanya. 

Mengulas sama ada pencapaian pemain di Kejohanan Dunia akan menjadi penentu kedudukan dalam RTG, Hannah menjelaskan, kedudukan pemain dalam program itu tidak bergantung sepenuhnya kepada keputusan sesuatu kejohanan.

Sebaliknya, katanya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah berdasarkan kepada ranking dunia pemain.

“Kita akan terus memantau prestasi mereka secara keseluruhan sepanjang tempoh dua tahun ini sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan RTG,” katanya.

Untuk rekod, antara pemain badminton yang berada dalam program RTG adalah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah, serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie. – AGENSI





Source link