Malaysia Oversight

Warga Singapura dihukum penjara 72 tahun, 24 sebatan

By TheSun in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Warga Singapura dihukum penjara 72 tahun, 24 sebatan


MELAKA: Seorang warga Singapura hari ini dihukum penjara berjumlah 72 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh isteri serta anak tirinya yang mayat mereka ditemukan dikerat lapan selain dibuang di kawasan semak, enam tahun lepas.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Shahrul Nizam Zuraimy, 36, gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Beliau memerintahkan Shahrul Nizam menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 12 sebatan bagi setiap pertuduhan secara berasingan bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Okt 2019.

Dalam penghakimannya, Anselm berkata tindakan tertuduh, termasuk meletakkan kepala isterinya di siling rumah, adalah kejam dan tanpa sebarang alasan munasabah seolah-olah ingin menyembunyikan perbuatannya serta identiti mangsa.

“Mahkamah mempertimbangkan konsep hutang nyawa dibalas dengan nyawa selain mengambil kira emosi ahli keluarga mangsa namun perlu melihat secara keseluruhan kes ini serta kepentingan awam,“ katanya.

Beliau berkata mahkamah turut meneliti hujah pembelaan, faktor pemberat yang dikemukakan pendakwaan serta pernyataan impak daripada ibu dan kakak Norfazera Bidin yang mengalami trauma emosi serta kesihatan selain anak mangsa yang terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu.

Shahrul Nizam didakwa membunuh Norfazera, 27, dan Muhammad Iman Ashraf Abdullah, 11, di sebuah rumah Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam antara 6 petang 6 Okt hingga 7.30 pagi 7 Okt 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Terdahulu, ibu dan kakak Norfazera dalam kenyataan impak mereka memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal termasuk hukuman mati ke atas tertuduh atas faktor trauma yang dialami keluarga mangsa serta cara pembunuhan itu dilakukan iaitu dengan penuh kekejaman.

Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi pula memohon mahkamah memberikan peluang kedua atas alasan anak guam mereka telah insaf serta menyesali perbuatannya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Nur Syazwanie Marizan memohon agar Shahrul Nizam dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau hukuman penjara secara berasingan bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mereka juga berkata faktor kekesalan yang dihujahkan oleh pembelaan perlu dipertimbang kerana walaupun tertuduh menyerah diri, dia sebelum itu telah menipu keluarga mangsa mengenai keberadaan mereka dan melarikan diri ke Singapura selepas kejadian – BERNAMA



Source link