PETALING JAYA: Pas dan Parti Kemajuan Malaysia (MAP) yang diketuai P. Waytha Moorthy merupakan antara 12 pakatan pembangkang yang membentuk satu pakatan bagi memperjuangkan isu-isu negara didakwa gagal ditangani oleh kerajaan, termasuk tidak menunaikan janji reformasi.
Selain Pas dan MAP, pakatan itu terdiri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi iaitu Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun nama bagi gabungan longgar itu belum dimuktamadkan dan akan dimaklumkan dalam mesyuarat akan datang.
“Gabungan ini ‘badan longgar’, bukan gabungan politik berdaftar secara rasmi tapi longgar untuk membolehkan kita jemput semua pimpinan parti yang ada. Ia tak semestinya dalam Perikatan Nasional (PN) untuk bincang perkara kita fikir menjadi perhatian utama dan cadangan kita mencari jalan membantu selesaikan masalah rakyat.
“Gabungan ini kita tak ada tentukan perkara khusus tapi apa sahaja isu kita fikir ada kepentingan bersama yang menyentuh soal politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan apa-apa hal kita boleh guna platform ini bersama dan ambil keputusan bersama,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat gabungan itu. katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin parti-parti tersebut di sini, hari ini.
Muhyiddin turut berkata, perbincangan mengenai isu-isu rakyat ini turut akan melibatkan peniaga, pengusaha, dan kumpulan tertentu bagi mendekati masalah yang mereka hadapi serta mencadangkan pendekatan tertentu untuk diambil kerajaan.
Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan Pengerusi Urimai, Dr Ramasamy Palanisamy.-UTUSAN