Dua belas parti pembangkang hari ini bersetuju membentuk satu gabungan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa mereka gagal diselesaikan kerajaan Madani, termasuk janji reformasi.
Gabungan itu terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Muda, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Sebuah lagi organisasi yang terlibat ialah parti yang belum didaftarkan secara rasmi – Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, bagaimanapun berkata nama bagi gabungan longgar itu hanya akan diumumkan pada mesyuarat mereka yang akan datang.
Katanya, mereka akan memberi tumpuan terhadap isu-isu semasa yang utama dihadapi rakyat.
“Kami sepakat di sini – tak ada satu pimpinan parti yang tak setuju – ini satu perkara perlu diberi perhatian dan keutaman termasuk soal Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) sedang dibentang dan dibahas (yang) dilihat tak dapat selesai banyak isu utama oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan pemimpin parti-parti tersebut di Kuala Lumpur, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menambah, langkah membentuk gabungan longgar itu adalah tindakan pertama diambil sebelum diikuti dengan keputusan lain kemudian.
Antara lain, katanya, mereka akan berbincang dengan kumpulan masyarakat seperti peniaga, penguasaha, dan kumpulan tertentu bagi mendekati masalah yang mereka hadapi serta mencadangkan pendekatan tertentu untuk diambil kerajaan.
[Laporan penuh menyusul]