Sayap Pemuda Bersatu (Armada) hari ini membidas Kementerian Kewangan (MOF) berhubung kenyataan mempertahankan pengecualian cukai perkhidmatan terhadap sewaan kapal dan jet, sambil menyifatkan kerajaan sebenarnya menafikan nilai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam proses tersebut.
Exco sayap itu Na’im Brundage berkata penjelasan kementerian itu gagal sama sekali menjawab persoalan asas.
“Kenapa kerajaan memberi layanan istimewa kepada syarikat gergasi penerbangan dan perkapalan, tetapi membiarkan rakyat kecil serta industri lain terus diperah dengan cukai perkhidmatan SST.
“Alasan yang diberikan MOF bahawa industri penerbangan dan maritim penting dalam rantaian bekalan, pelancongan dan ekonomi negara jelas meremehkan sumbangan ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang selama ini telah menjadi tulang belakang kepada ekonomi negara.

“Keputusan pengecualian cukai ini membuktikan dengan jelas bahawa kerajaan lebih mengutamakan kepentingan korporat besar dan golongan kaya berbanding syarikat kecil dan rakyat biasa.
“Sewaan barangan harian seperti motosikal, kereta, van, lori dan bas terus dikenakan cukai, sedangkan sewaan kapal dan pesawat yang hanya mampu digunakan oleh syarikat besar dan golongan elit diberikan keistimewaan,” katanya.
Na’im berkata kerajaan telah tersalah keutamaan, sambil menuduh “pola ketidakadilan” ini berlaku berulang kali.
Menurutnya, kerajaan tergesa-gesa melaksanakan Cukai Barangan Nilai Rendah (LVG) yang membebankan rakyat ketika membeli barangan murah dari luar negara, sedangkan Cukai Barangan Nilai Tinggi (HVG) yang sepatutnya dikenakan terhadap barangan mewah golongan maha kaya ditangguhkan.

“Pemuda Bersatu Malaysia menegaskan dasar sebegini bukan sahaja berat sebelah, tetapi juga membuktikan kerajaan gagal mempertahankan kepentingan rakyat kebanyakan.
“Selagi kerajaan terus melindungi syarikat besar dan golongan berada daripada beban cukai, beban itu akan terus ditanggung rakyat biasa,” tambah Na’im.
Pada 16 Ogos lalu, Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan pengecualian cukai perkhidmatan bagi sewaan kapal dan pesawat tidak dibuat secara senyap, sebaliknya bertujuan mengekalkan daya saing industri tempatan, lapor Bernama yang memetik kenyataan rasmi.
Kementerian itu berkata pelaksanaan cukai berkenaan akan mendorong pemilik kapal dan pesawat tempatan untuk mendaftar di luar negara, sekali gus menjejaskan aktiviti ekonomi serta pelancongan di Malaysia.
MOF turut menegaskan negara jiran juga tidak mengenakan cukai seumpama itu.
Tanpa pengecualian ini, MOF berkata pelanggan mungkin akan beralih kepada perkhidmatan perkapalan atau penerbangan asing.
MOF turut menjelaskan notis rasmi mengenai pengecualian cukai perkhidmatan bagi sewaan kapal dan pesawat telah dibuat pada 24 Julai 2025 apabila ia dimuat naik ke portal MySST Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Kerajaan sebelum ini menetapkan cukai perkhidmatan lapan peratus terhadap perkhidmatan sewaan dan pajakan berkuat kuasa 1 Julai namun ia hanya terpakai kepada syarikat yang memperoleh pendapatan melebihi RM1 juta setahun.