Malaysia Oversight

KATA MP | Hentikan perang budaya, kukuhkan jalan tengah

By MkiniBM in August 18, 2025 – Reading time 7 minute
malaysiakini logo


KATA MP | Di suatu petang pada tahun pertama saya di Canberra untuk melanjutkan pengajian ke Australian National University pada 2001, satu syarahan oleh Professor Brij Lal (1952-2021), cendekiawan warga Fiji berketurunan India, telah mencabar minda saya.

British mula menjajah Fiji pada 1874, tahun yang sama Perjanjian Pangkor ditandatangani. Warga India dibawa masuk beramai-ramai ke Fiji oleh pedagang British sebagai buruh kerahan kontrak. Hidup mereka terseksa tetapi setelah beberapa lama mereka berjaya membebaskan diri dan dapat memulakan kehidupan baru dengan membina rumah, jalan, jambatan, sekolah, kedai dan sebagainya.

Lama-kelamaan wujud sebuah negara yang mempunyai dua kaum utama, iaitu pribumi Fiji dan kaum India tempatan – kedua-duanya lahir dan dibesarkan di Fiji. Tercetus pertikaian politik yang kadang-kadang menumpahkan darah antara kedua-dua komuniti tersebut, dan ini menjadi sebahagian daripada sejarah Fiji.

Apa yang timbul dalam minda saya selepas mendengar syarahan pada petang 2001 itu ialah jika watak-watak kaum diubah, iaitu pribumi Fiji menjadi Melayu manakala India Fiji menjadi Cina Malaysia. Kita akan mendapati banyak persamaan antara Fiji dan Malaysia dari segi pengalaman kaum tersebut.

Pada Februari 2003, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan satu persidangan yang membincangkan perbandingan sejarah Malaysia, Sri Lanka dan Fiji, tiga bekas jajahan British yang mempunyai masyarakat majmuk yang ada banyak persamaannya. 

5d81cd51daccba980007e6a7063dcbb5
Liew Chin Tong

Sebuah buku suntingan Profesor Emeritus Dr Abdul Rahman Embong yang berdasarkan kepada persidangan itu bertajuk Rethinking Ethnicity and Nation-Building: Malaysia, Sri Lanka and Fiji in Comparative Perspective (2007) merupakan rujukan yang sesuai untuk memahami dengan lebih mendalam tentang ketegangan sejarah masyarakat-masyarakat pasca-penjajahan ini.

Sri Lanka dan Fiji telah melalui era pertikaian serta pergaduhan kaum yang meruncing. Di Sri Lanka, ia merebak hingga menjadi perang ganas di antara dan gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Tetapi di Malaysia, keadaannya aman sepanjang hampir tujuh dekad sejak Merdeka, walaupun pernah berlaku beberapa konflik berdarah.

Di Malaysia, antara 15 Ogos 1945 apabila Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua dan 3 September 1945 apabila British kembali ke Malaya, Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA) telah bertindak membalas dendam terhadap banyak individu yang mereka dakwa menjadi tali barut Jepun. Sepanjang Darurat 1948-60, Parti Komunis Malaya melancarkan perang terhadap British dan kemudiannya terhadap Malaya pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra. Dan pada 13 Mei 1969, berlaku rusuhan kaum.

Titik tengah pemusatan kepelbagaian kaum

Malaysia menjadi antara topik perbincangan utama tulisan Arend Lijphart yang mengkaji tentang politik akomodasi, iaitu usaha memenuhi tuntutan pelbagai kaum yang digelarnya sebagai “consociationalism”. Begitu juga kajian Donald Horowitz bertajuk Ethnic Groups in Conflict (1985) yang menyentuh tentang persoalan yang sama.

Pada pandangan Horowitz, ada satu titik pemusatan tengah politik di Malaysia yang merangkumi semua pihak, termasuk kaum-kaum utama. Sehingga dekad 1980-an apabila buku tersebut diterbit, titik tengah itu adalah . Apabila titik tengah yang menjadi pusat kepada kepelbagaian kaum dapat bertahan, suara-suara ekstrem hanya mampu menumpang di pinggiran.

Dua pengajaran daripada wacana ini ialah:

Pertama, untuk memahami politik Malaysia, kita perlu melihat naratif dan sentimen Melayu dan bukan-Melayu, dan mencari titik tengah akomodasi bagi memastikan wujudnya daya ketahanan pusat, yang diakui memang sukar untuk diimbangkan.

Kedua, kita perlu memastikan kumpulan pinggiran yang ekstrem tidak menjadi kuasa penentu masyarakat. Ini adalah kerana adanya kumpulan-kumpulan di kalangan Melayu dan bukan-Melayu dengan mudah mencari isu untuk dibakar sebagai emosi perkauman.  

Kemuncak kuasa adalah PRU 1995 di mana Wawasan 2020 serta idea Bangsa Malaysia mendapat sambutan pengundi semua kaum. menang 65 peratus undi popular, iaitu keputusan yang terbaik pernah dicapainya.

a3193153b0fdf2573386ba2d8fa6fa03

Namun, PRU 1999 memperlihatkan separuh pengundi Melayu menolak BN sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad atas penangkapan, pemukulan dan pemenjaraan bekas timbalannya, Ibrahim.

Selepas Dr Mahathir letak jawatan, PRU 2004 menjadi kali terakhir BN mendapat sokongan daripada semua kaum – dengan memenangi 64 peratus undi popular – khususnya kerana populariti Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Selain politik akomodasi, tatanan lama BN juga mampu mengekalkan kuasa melalui penggunaan undang-undang zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membolehkan penahanan tanpa bicara, dan kebanyakan mangsanya adalah ahli-ahli politik pembangkang dan aktivis sosial.

Sepanjang 20 tahun selepas PRU 2004, tatanan lama semakin merosot pengaruhnya, sehinggalah BN hilang kuasa pada PRU 2018.

Apa yang menimbulkan masalah sewaktu kemerosotan titik tengah ini, terutamanya dari 2005 sehingga 2018, adalah pimpinan BN dilanda kebimbangan tidak lagi berusaha untuk memenuhi keperluan semua segmen masyarakat. Sebaliknya, dalam usaha menyelamatkan gabungan itu daripada kehilangan sokongan, Umno yang menjadi tulang belakang BN hanya menaruh harapan kepada orang Melayu sahaja.

Perang budaya

Ada rakan-rakan dalam perkhidmatan awam pernah memberitahu saya bahawa sekitar dekad 2000-an, malah sehingga 2010-an, Biro Tata Negara yang sepatutnya berperanan memupuk patriotisme dan perpaduan nasional telah menjalankan kursus wajib untuk penjawat awam yang terpesong daripada matlamatnya. 

Kursus-kursus ketika itu diisi dengan penerangan untuk menolak sebagai bakal Perdana Menteri, serta menyemai perasaan benci terhadap DAP dan kaum-kaum bukan-Melayu, yang digambarkan sebagai penderhaka dan “komunis”. Kejatuhan Melaka kepada Portugis pada 1511 sering disebut dalam kursus-kursus ini untuk mengingatkan peserta bahawa ia berpunca daripada pengkhianatan pedagang-pedagang bukan-Melayu.

Sepanjang dekad yang lalu, beberapa kekacauan telah timbul – antaranya adalah pergaduhan akibat kecurian telefon bimbit di Plaza Low Yat (2015), isu berus bulu (2017), isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah (2019), kenyataan kontroversi pendakwah dari India, Zakir Naik terhadap kaum bukan Melayu (2019), isu sijil halal (2024) dan isu stoking KK Mart (2024).

3351fd597db96ebcb2edc4eceefe4723

Dalam setiap pertikaian ini, sentiasa ada dua pihak – Melayu dan bukan-Melayu – dan yang paling lantang antara mereka ialah kumpulan ekstrem dalam kelompok masing-masing.

Banyak isu di Malaysia dilihat daripada kanta kaum, dan tentunya apabila ia berlaku begitu, timbul reaksi balas-membalas daripada kumpulan yang bertelagah. Kebanyakannya hanya mengulangi tuduhan-tuduhan stereotaip, bias dan sesetengahnya terang-terang rasis; seolah-olah tiada jalan tengah dalam perang budaya ini. 

Apabila ada sesiapa yang membawa cadangan penyelesaian bersifat jalan tengah, individu ini akan dikutuk oleh kedua-dua kumpulan itu. Malah, ada yang menganggap penyelesaian jalan tengah adalah satu pengkhianatan.

Dalam perang budaya, identiti kumpulan menjadi lebih penting daripada suara individu. Ia merupakan keadaan “us versus them”, iaitu “mereka adalah musuh kita”. Ia juga zero sum game di mana hanya ada yang menang dan yang kalah – tanpa sebarang kompromi. 

Mereka yang tidak bersama “kita” serta-merta menjadi “yang lain”. Dalam bentuk paling ekstrem, “yang lain” tidak akan dianggap sebagai manusia, dan apa sahaja boleh dilakukan terhadap mereka. Di negara-negara lain, semakin sukar untuk membezakan perang budaya dengan konflik berdarah.

Dalam pertikaian tentang Jalur Gemilang, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menonjolkan dirinya sebagai “jaguh” kepada pengikut-pengikut setianya serta mereka yang terperangkap dalam politik kaum. Orang yang dicabarnya dituduh sebagai “penentang” yang tidak setia kepada negara. 

Masalahnya, lagak wira seperti ini hanya melahirkan reaksi balas rasa marah, takut dan terhina daripada kalangan bukan-Melayu. Ia tidak memberi apa-apa faedah kepada kedua-dua pihak.

Dalam keadaan seperti ini, setiap pihak akan bangkit untuk “mempertahankan” kumpulan masing-masing daripada “serangan” pihak lawan. Bagi orang Melayu, mereka menganggapnya sebagai mempertahankan kedaulatan kaum manakala golongan bukan-Melayu melihatnya sebagai mempertahankan diri daripada dibuli, dan juga menyedari wujudnya hegemoni.

37a9646539234fcf12bf64aaef142dd5
Dr Akmal Saleh

Di pihak Melayu, sudah ada seruan supaya tidak bekerjasama dengan DAP. Di pihak bukan-Melayu, ada suara-suara yang mahu memutuskan hubungan dengan Umno. Malah, ada juga yang terlalu emosi sehingga membuat seruan agar tidak perlu memasang langsung bendera Malaysia.

Saya menyokong kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mencadangkan agar dipasang Jalur Gemilang bersaiz besar di kedai perkakasan yang mahu “dilawat” oleh Akmal dan pengikut setianya. Adalah penting untuk kita mengumpulkan rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk berdiri bersama Jalur Gemilang sebagai simbol kebangsaan kita bagi mengelakkan ia daripada merebak menjadi perang budaya Melayu melawan bukan-Melayu. 

Jika berpanjangan, “perang” ini tiada pemenangnya, ia hanya akan menjadi seperti menang jadi arang, kalah jadi abu.

Titik pusat pertengahan yang kukuh, berwibawa

Sudah tidak ada titik pertengahan yang kukuh di Malaysia sepanjang hampir dua dekad. Jadi, apabila api perang budaya membakar, tiada siapa berani ke tengah untuk bersuara bagi warga majoriti jalan tengah, atau bercakap bagi pihak “nasionalisme Malaysia”. Jalan tengah akan teruk tertekan jika titik tengah tidak dapat bertahan lagi.

Kerajaan Perpaduan sebagai satu entiti sebenarnya merupakan peluang untuk kita membina titik tengah yang kukuh serta tatanan politik baru yang berteraskan nasionalisme Malaysia. Ini bermakna jalan tengah bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga diperluaskan, bagi memastikan kumpulan-kumpulan kecil ekstrem tidak dapat menguasai minda dan jiwa majoriti rakyat.

Saranan Perdana Menteri sewaktu berucap kepada penjawat awam baru-baru ini merupakan satu peringatan baik untuk kita semua, iaitu perlu ada usaha serius untuk meneguhkan jalan tengah.

Perlu diingatkan bahawa jalan tengah yang teguh perlu autoritatif atau tegas dan berwibawa, dan bukannya bersifat autoritarian (kuku besi). Nasionalisme Malaysia perlu seiring jalan dengan demokrasi yang kukuh serta undang-undang dan peraturan yang diterima semua, di samping mampu mengetepikan perang budaya dan menolak jaguh kaum/budaya.

Sebenarnya apa yang berlaku di Malaysia sepanjang dua dekad lalu tidaklah terlalu unik untuk kita.

Sekarang adalah era di mana Presiden Amerika Syarikat Donald Trump lebih terkenal sebagai jaguh perang budaya manakala tidak mustahil untuk pemimpin sayap kanan populis seperti Nigel Farage menjadi Perdana Menteri Britain pada pilihan raya negara itu nanti. Banyak masyarakat seragam di dunia kini sudah menjadi pelbagai kaum dan pelbagai budaya, dan memerlukan politik akomodasi.

Kerajaan Perpaduan pimpinan mempunyai peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mampu mewujudkan demokrasi yang berfungsi dalam masyarakat pelbagai kaum yang bersepadu. Menjadi tanggungjawab bersama kita untuk mengukuhkan serta mengekalkan jalan tengah kita – nasionalisme Malaysia.


LIEW CHIN TONG adalah ahli Parlimen Iskandar Puteri. Dia juga adalah timbalan menteri pelaburan, perdagangan dan industri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirianMalaysiakini.



Source link