Malaysia Oversight

Pastikan REE di Terengganu tidak senasib hasil petroleum

By Utusan in August 18, 2025 – Reading time 2 minute
Pastikan REE di Terengganu tidak senasib hasil petroleum


KUALA LUMPUR: perlu memastikan hasil nadir bumi (REE) bukan radioaktif di Terengganu tidak mengalami nasib sama seperti petroleum yang tidak dinikmati sepenuhnya oleh rakyat negeri itu.

Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, walaupun Terengganu dikurniakan hasil minyak sejak sekian lama, penduduk negeri tidak menikmati pulangan sewajarnya kerana hasil berkenaan diagih untuk kepentingan nasional.

“Kini Alhamdulillah Terengganu dikurniakan simpanan REE antara yang tertinggi di negara ini tetapi terdapat berapa halangan untuk mengusahakan antaranya ialah sebahagian besar daripada REE ini berada di dalam kawasan hutan simpan kekal.

“Untuk mengatasinya negeri telah menangani dengan bercadang untuk mengapungkan kawasan yang berkenaan makna untuk digantikan dengan kawasan hutan yang tidak mempunyai REE.

“Apakah cadangan atau kerjasama kementerian bagi membantu usaha negeri menjayakan perlombongan REE ini sebagai sumber hasil baharu dan negeri Terengganu akan dapat bangkit maju seperti negeri-negeri di Pantai Barat?

“Serta sumber ini kelak tidak jadi nasib seperti hasil petroleum seperti kata pepatah menang sorak kampung tergadai? Hasil dari bumi Terengganu tapi manfaatnya tidak dirasai oleh rakyat terengganu,” katanya ketika mengemuka soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Menjawab persoalan itu, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, perlombongan REE memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan negeri dan Persekutuan kerana ia melibatkan beberapa peringkat kelulusan.

Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab mengeluarkan lesen penerokaan dan pajakan perlombongan, manakala Kerajaan Persekutuan terlibat dalam kelulusan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), skim pengendalian perlombongan serta permit eksport.

“Setakat ini negara belum mempunyai teknologi memproses REE, dan aktiviti perlombongan masih di peringkat percubaan. Justeru, kita perlu memastikan kajian terperinci dijalankan sebelum operasi berskala besar dimulakan,” katanya.

Terdahulu, Alias minta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan status kajian untuk membenarkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) serta garis masa untuk kajian dimuktamadkan. – UTUSAN





Source link