KUALA LUMPUR : Penyanyi, Azharina, mengakui terharu apabila dipilih sebagai salah seorang panel bagi Persidangan Wanita ASEAN (Best Practices) yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC).
Menurut Azharina, dia merupakan satu-satunya wakil anak seni dalam kalangan panel jemputan dan peluang itu digunakannya untuk berkongsi pengalaman serta sumbangannya dalam bidang kemanusiaan dan kebudayaan, selaras dengan tema perbincangan bertajuk Women in Humanity and Culture.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana dipilih untuk menjadi panel di persidangan ini.
“Ia adalah satu pengalaman yang sangat berharga, apabila dapat berkongsi pentas dengan wanita-wanita luar biasa dari Malaysia, Filipina, Indonesia,Singapura dan Brunei.
“Mereka hadir dengan aura positif yang luar biasa dan banyak memberi inspirasi kepada saya,”katanya.
Turut bersama Azharina di pentas forum ialah
Jumriati Abdullah dari Kelab PERWIRA
Malaysia serta Puan Sri Datin Prof. Dr. Liana Lim, tokoh budaya dari keluarga Diraja Budaya
Nusantara dan Kemanusiaan.
Tambah Azharina, sepanjang lebih dua dekad bergiat dalam dunia seni, dia mengakui tidak hanya menabur bakti dalam muzik, tetapi juga aktif dalam kerja kebajikan dan aktivisme wanita.
Berikutan itu, kata Azharina, ruang yang diberikan menerusi program tersebut telah digunakannya untuk berkongsi mengenai peranannya sebagai Presiden Kelab Artis 1 Malaysia Sabah (KA1MS) serta pelbagai inisiatif kebajikan yang pernah diketuainya.
“Antaranya termasuklah pembabitan saya di Konsert Amal Maya Azharina & Friends pada tahun 2021,yang bertujuan membantu mangsa banjir di Sabah.
“Konsert tersebut bukan hanya berjaya mengumpul dana, malah membuka mata masyarakat mengenai keperluan mendesak mereka yang terkesan.
“Saya terlibat secara langsung dalam pengagihan bantuan makanan asas seperti beras kepada ibu tunggal dan anak-anak di kawasan Puchong. Bantuan ini memberi kesan langsung kepada keluarga yang memerlukan dan sering terpinggir dalam masyarakat,”jelasnya.
Selain itu, Azharina turut menyentuh kejayaan peribadinya termasuk pencapaian dalam
pertandingan nyanyian, penerbitan dokumentari, serta pengiktirafan sebagai Tourism Icon ofThe Year (Celebrity) dalam Malaysia Tourism Council (MTC) Gold Awards 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, Sarawak.
Persidangan ini turut dihadiri oleh tetamu kenamaan seperti Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia; Datuk Hanifah Hajar Taib, Datin Seri
Panglima Datuk Hajah Juliah Salag serta Profesor Dr. Rozita @ Uji Mohammed.
Acara berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini merangkumi pelbagai sesi pembentangan, forum panel dan jaringan kerjasama antara peserta dari seluruh negara
ASEAN.