SMURFS bukan baharu, tapi sebuah animasi (asal komik) yang begitu ikonik ketika kemuncaknya pada era 80-an. Dalam kata lain, Smurfs sudah mempunyai peminat tersendiri yang secara tidak langsung membesar dengan makhluk berwarna biru, kecil, kenyal dan comel itu.
Dalam sejarah tayangan filem Smurfs di abad ke-21, hanya The Smurfs (2011) sahaja yang boleh dianggap berjaya kerana menggabungkan animasi dan kehidupan nyata meraih kira-kira USD 563.7 juta manakala dua lagi filemnya selepas itu biasa-biasa sahaja, baik The Smurfs 2 (2013) atau Smurfs: The Lost Village (2017).
Chris Miller menggalas tanggungjawab untuk reboot Smurfs tahun ini dengan tulisan skrip Pam Prady (Longer & Uncut, Team America: World Police). Saya melihat Pardy dan Miller masing-masing memiliki visi untuk menjadikan Smurfs bukan filem yang dibuat untuk dinikmati kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.
Buktinya, mereka membawa masuk Rihanna yang ke dalam pasukan bukan sahaja sebagai pelakon suara tetapi turut diamanahkan menjadi komposer semua lagu dalam filem ini bersama Hendry Jackman.
Dalam perkampungan Smurfs sebelum ini kita tahu bahawa masing-masing mempunyai kontrak sosial di mana setiap orang memiliki satu kelebihan yang boleh digunakan untuk membantu masyarakat. Kelebihan itu tidak boleh dimiliki Smurf lain kerana ia juga bertindak sebagai ‘kad pengenalan’ yang menjadi identiti mereka.
Oleh itu, ketika No Name tahu dirinya tidak mempunyai apa-apa kelebihan, di lubuk hati paling dalam, dia faham dia belum cukup sempurna untuk diterima berada di sana.
Namun No Name yang pada asalnya tidak berapa diingati dan dipandang kemudian menemukan kelebihannya iaitu mahir menguasai magis yang secara jujurnya begitu istimewa. Namun kerana keistimewaan itulah turut membuatnya dianggap ganjil dan berbahaya.
Plot berkembang ketika Papa Smurfs dicuri. Di sinilah bermulanya konflik, Ken, Smurfette dan No Name yang berjuang mendapatkan kembali bapanya.
Jujurnya, awal filem ini agak mempersonakan dengan muzik-muzik, tarian dan juga humor yang cuba dibawa mereka. Namun begitu, saya harus akur, cerita ini kemudian menjadi terlalu laju tanpa membiarkan karakternya cukup masak, berkembang, diberi peluang untuk bersinar.
Tidak lama selepas itu ada banyak pula karakter muncul. Sudahlah karakter sedia ada belum cukup lama di skrin, penonton pula perlu cepat-cepat maklum akan kehadiran watak siapa pula yang muncul tiba-tiba.
Saya hormati keputusan mereka membawa masuk Rihanna. Namun, secara peribadi ada skor muzik dan lagu yang berulang-ulang seperti tidak sesuai diletakkan di dalam filem ini.
Malah, jika saya tidak mengetahui Rihanna adalah pelakon suara untuk karakter Smurfette, pun tidak mengapa. Seolah-olah Rihanna atau orang lain, impaknya tetap sama. Apa lagi kanak-kanak yang tonton cerita ini, lagilah mereka tidak kisah.
Bayangkan cerita ini berentak pantas, banyak nyanyi dan menari namun entah mengapa tetap terasa membosankan. Mungkin kerana tiada satu karakter pun yang berjaya menerobos perasaan penonton.
Masing-masing macam berkejar-kejar, kucar-kacir sampai tidak tahu apa yang mereka cuba bawakan. Dunia animasi hari ini sudah berkembang, tekak kita semua sudah pernah merasa pelbagai sentuhan, visual dan jenis cerita yang dibawa.
Namun yang paling besar tetap terletak kepada bagaimana karakter itu ‘bercakap’ kepada penonton dengan dialog, lapis perasaan dan pengalaman yang dibawa.
Malang sekali, saya tidak mendapatkan itu di dalam Smurfs. No Name menjelaskan bagaimana magis itu ada dalam diri kita tanpa perlu mencarinya di luar.
Tapi itulah, setelah kita melihat ke dalam diri, kita tidak pula menemui apa-apa sepanjang filem ini selain hanya sekelumit rasa kecewa.