Malaysia Oversight

Isu Jalur Gemilang: Terus ambil tindakan, jangan biar berlanjutan – Rozabil

By Utusan in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Isu Jalur Gemilang: Terus ambil tindakan, jangan biar berlanjutan - Rozabil


KANGAR: Kontroversi yang mengugat perpaduan negara seperti kes Jalur Gemilang dipasang secara terbalik tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan dan perlu ditangani dengan sebaiknya.

Pengerusi Badan Perhubungan negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, sekiranya isu sebegitu berlaku lagi selepas ini, tindakan terus ke atas pelaku perlu dilaksanakan sebelum kes itu berlanjutan sehingga ke parti-parti politik.

Dalam masa sama, beliau juga melihat isu tersebut yang menimbulkan pergeseran antara Pemuda dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak akan memberi kesan besar terhadap Perpaduan.

“Perkara tersebut sememangnya merupakan hak sebagai rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan negara cumanya mungkin pendekatan berbeza. Setiap orang ambil pendekatan berbeza, ada keras dan ada yang lembut tapi yang paling penting soal Jalur Gemilang kita tidak boleh ambil ringan kerana ini merupakan kebanggaan yang patut dihormati,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

DAPSY sebelum ini mengecam Ketua Pemuda , Dr. Muhamad Akmal Salleh yang bertindak mengetuai perarakan di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu berhubung isu Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis perniagaan.

Tindakan tersebut mencetuskan kecaman DAP yang menyifatkan himpunan berkenaan sebagai provokatif dan DAPSY juga menggesa supaya DAP memutuskan hubungan politik dengan Akmal atas alasan beliau melagakan masyarakat serta mengancam keharmonian kaum.

Mengulas lanjut, Rozabil berkata, setiap parti mempunyai pendirian tersendiri dalam isu itu, namun keputusan untuk memutuskan hubungan antara rakan kompenan gabungan itu hanya terletak pada pucuk pimpinan masing-masing.

“Apa yang kita tahu dari segi parti-parti bawah Perpaduan ini, kita dapat bekerjasama dengan baik tapi kita sedia maklum, Pemuda UMNO ini mempunyai semangat dan aspirasi berbeza.

“Oleh itu kita minta agar perkara-perkara dan sentimen yang agak panas macam baru-baru ini dapat diredakan dalam masa terdekat,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau.-UTUSAN





Source link