Nota bantahan Umno yang menyatakan bantahannya terhadap bekas ahlinya menyertai parti lain dalam kerajaan perpaduan tidak menggariskan sebarang tuntutan khusus, kata ahli majlis tertinggi parti itu Lokman Adam.
Nota itu muncul susulan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz, yang juga bekas ahli Umno, mengumumkan penerimaan PKR terhadap permohonan keahliannya.
Sambil mengesahkan bahawa nota itu tidak mengandungi tuntutan terperinci, Lokman memberitahu Malaysiakini bahawa nota itu hanya menggesa untuk menjaga keharmonian dalam kerajaan perpaduan.
“Ia hanya nota bantahan, seperti yang disebut oleh Setiausaha Agung Umno dalam sidang medianya, (tanpa) tiada tuntutan,” kata Lokman.
Awal hari ini, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa parti komponen Pakatan Harapan (PH) telah menerima nota bantahan Umno, sambil menambah bahawa mesyuarat jawatankuasa pusat PKR akan membincangkan perkara itu pada akhir bulan ini.
“Setiausaha Agung PKR telah menerima dan memanjangkan surat itu kepada pimpinan (kita). InsyaAllah, perkara ini akan kita bincangkan pada mesyuarat jawatankuasa pusat (pada) hujung bulan ini, sebelum hari Merdeka,” katanya dipetik New Straits Times.

Pada 13 Ogos, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu akan menyampaikan nota bantahan kepada pemimpin parti dalam kerajaan perpaduan yang sedang mempertimbangkan, atau sudah membenarkan, bekas ahli Umno masuk ke dalam parti mereka.
Asyraf kemudian berkata bahawa nota bantahan itu mewakili “amaran keras” kepada komponen kerajaan perpaduan yang lain, memberi amaran bahawa hubungan dalam gabungan boleh menjadi rumit jika perkara itu tidak ditangani dengan sewajarnya.
Pada 8 Ogos, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Zafrul telah diterima sebagai ahli PKR.
Dia berkata parti itu telah meluluskan permohonan keahlian bekas ahli Umno itu semasa mesyuarat jawatankuasa pimpinan pusat pada 26 Julai.
Zafrul juga dilaporkan berkata dia telah memohon untuk menjadi ahli di bahagian Ampang parti itu. Susulan itu, ketua PKR cabang itu Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad tampil menolak spekulasi bahawa Zafrul akan menjadi calon parti seterusnya untuk kerusi parlimen Ampang.
Zafrul mengundurkan diri daripada Umno dan mengumumkan hasratnya menyertai PKR pada 30 Mei.
Pemimpin Umno membidas langkah itu, dengan beberapa mengkritik Zafrul sambil memberi amaran kepada PKR bahawa perkara sedemikian boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti.