Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang meminta pemimpin pembangkang tidak tergesa-gesa apabila meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan.
Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal mengulas gesaan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi, Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, agar dua menteri itu berundur kerana didakwa gagal menangani kes kematian Zara Qairina Mahathir.
“Saya minta pembangkang jangan gopoh. Jika tanya pembangkang, perdana menteri (Anwar Ibrahim) pun dia suruh letak jawatan.
“Tunggu penerangan Menteri Dalam Negeri di Parlimen esok.
“Negara ini negara hukum, semua takkan terlepas daripada tindakan sekiranya didapati bersalah,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Nurul Islam mendakwa kedua-dua menteri terbabit perlu meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam kes Zara Qairina.
“Dalam isu ini aku berpandangan dua orang Menteri yang perlu bertanggungjawab dan meletakkan jawatan.
“Ataupun PM perlu ambil tanggungjawab dan rehatkan mereka dan ganti dengan ahli parlimen atau Senator lain dari Pakatan Harapan – BN,” katanya dalam satu kenyataan.
Nurul Islam turut menyenaraikan beberapa kegagalan Kementerian Pendidikan, antaranya tidak mengemas kini maklumat kes Zara, lemah dalam komunikasi dan pengurusan krisis, gagal menjelaskan fakta sebenar, kelewatan menukar pengetua serta warden, menghalang guru bercakap mengenai isu berkenaan, dan tidak turun bertemu aktivis pelajar yang menyerahkan memorandum di Parlimen.
Bagi Kementerian Dalam Negeri pula, dia mendakwa terdapat kelemahan seperti siasatan awal polis yang tidak mengikut prosedur, kegagalan menjalankan bedah siasat sebelum jenazah diserahkan kepada keluarga, tidak mengumpulkan barang kes, pengumuman siasatan selesai walaupun tanpa bedah siasat, serta tiada tangkapan dibuat sehingga kini.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, pada 17 Julai lalu, selepas dimasukkan ke hospital apabila ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, sekitar jam 4 pagi 16 Julai.
Pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan kubur allahyarham digali semula sebelum bedah siasat dijalankan pada keesokan harinya.
Laporan awal forensik mendapati Zara meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk. yang konsisten dengan kesan jatuh dari tempat tinggi. Polis turut menyiasat kemungkinan wujud unsur buli seperti yang disyaki sebelum kejadian.
Setakat ini, polis telah merakam 82 keterangan saksi termasuk pelajar, manakala AGC mengumumkan inkuiri penuh akan dijalankan di mahkamah koroner bagi menentukan punca kematian.
Saifuddin berkata dia akan memberi penjelasan berhubung isu tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin, memandangkan perkara itu banyak dibangkitkan oleh ahli parlimen.