Pemuda DAP (Dapsy) berkata Pemuda PAS bijak “menunggang” isu Jalur Gemilang baru-baru ini, walaupun parti itu mendakwa tidak terlibat dengan isu terbaru itu.
Ketua Dapsy Kebangsaan, berkata Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden berjaya memanfaatkan isu tersebut untuk meraih perhatian politik, biarpun tidak hadir dalam himpunan yang diketuai Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh baru-baru ini.
“Apa-apapun, ucapan tahniah seharusnya dirakamkan kepada Ketua Pemuda PAS yang berjaya tunggang isu tersebut dengan kononnya menyokong tindakan samseng sebelum himpunan diadakan – walaupun tidak kelihatan beliau dan ahli-ahli PAS pada hari tersebut. Pandai tunggang dan elak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Woo mempersoalkan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, yang sebelum ini mendakwa Pemuda PAS telah dinasihatkan supaya tidak terlibat dalam isu berkenaan.
“Mungkin YB Kota Bharu tidak membaca berita bahawa Pemuda PAS telah menubuhkan pasukan pantau bendera terbalik seminggu yang lalu. Maksudnya, sebenarnya Pemuda PAS dah lama tunggang isu tersebut tanpa pengetahuan Setiausaha Agung PAS,” sindir Woo.
Katanya, adalah janggal apabila PAS hanya muncul selepas isu tersebut hampir reda, dan bukannya ketika ia mula hangat diperkatakan.

Terdahulu Takiyuddin dilaporkan berkata PAS telah menasihatkan dengan tegas kepada sayap pemudanya agar tidak terlibat dalam perhimpunan bagi membantah isu bendera di Pulau Pinang pada 9 Ogos lalu.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Pemuda PAS Perak dilaporkan telah menubuhkan pasukan khas bagi memantau sebarang tindakan menghina Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik di seluruh negeri sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Ketuanya, Hafez Sabri berkata, Pasukan Peninjau Sayangi Malaysia yang ditubuhkan akan digerakkan di setiap kawasan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melakukan provokasi yang dianggap menghina bendera negara.
Sehubungan itu, Woo mencabar PAS untuk menyatakan pendirian mereka terhadap tindakan politik yang disifatkannya sebagai “politik samseng”, merujuk kepada tindakan Pemuda Umno yang menyerbu kedai peniaga kecil baru-baru ini.
“Adakah PAS tidak bersetuju dengan tindakan membuat laporan polis terhadap perihal politik samseng?
“Adakah PAS bersetuju dengan tindakan samseng yang menyerbu kedai peniaga kecil sehingga menyebabkan semua premis di kawasan itu terpaksa ditutup?” soalnya.

Akmal sebelum ini mengetuai satu himpunan di hadapan sebuah premis perniagaan di Kepala Batas, Pulau Pinang selepas pemiliknya dirakam memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Pemilik kedai, Pang Chin Tian bagaimanapun menafikan perbuatan itu disengajakan.
Pang berkata dia sedang mengukur panjang sebatang tiang besi untuk menggantung bendera berkenaan, dan tidak sedar ia dalam keadaan terbalik.
Lelaki itu telah ditahan dan disiasat polis, manakala Akmal turut disiasat berhubung himpunan tersebut.