Malaysia Oversight

Durian satukan Mohd Nasir, Chew dan Loganathan

By MkiniBM in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
malaysiakini logo


Bagaikan isi durian yang tersusun kemas walaupun daripada pangsa yang berbeza, begitulah kuatnya ikatan persahabatan tiga rakan berlainan bangsa yang bukan hanya menjadikan raja buah itu sebagai sumber rezeki tetapi juga simbol perpaduan antara mereka.

Kira-kira 10 tahun lepas Mohd Nasir Majnun, 43, Chew Pei Chuan, 42, dan S. Lognathan, 35, bersama-sama berhujan dan berpanas bekerja sebagai penarik kereta sebelum masing-masing mencuba untuk membuka gerai durian di lokasi yang berbeza.

Bagaimanapun, disebabkan jarak gerai yang dibuka agak berhampiran satu sama lain, mereka saling bersaing dan sukar untuk mendapatkan pelanggan.

“Keadaan itu menyebabkan kami berbincang dan sepakat untuk bersama-sama mewujudkan perniagaan di bawah nama ‘Rumah Buah’. Alhamdulillah, ada hikmahnya kerana setelah itu gerai kami terus menjadi tumpuan pelanggan daripada pelbagai bangsa hingga kini.

“Ramai pelanggan memuji usaha kami dan menyatakan kami ini menjadi contoh dalam aspek perpaduan,” kata Mohd Nasir ketika ditemui Bernama di kedai mereka di Jalan Chengal, Taman Batu Pahat, di Batu Pahat baru-baru ini.

ced825d5214b38c090a26135932bd867

Bagi Chew pula setelah mengambil keputusan untuk bersama menjual durian, rezeki mereka semakin bertambah apabila pelanggan datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah kini dari luar negara.

“Mulanya hanya pelanggan tempatan tetapi kini ada yang datang dari Singapura, Thailand dan untuk rasa Musang King dan lihat sendiri bagaimana kami bekerjasama.

“Kisah kami pernah tular semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), apabila kami jual durian secara dalam talian dan hantar sendiri kepada pelanggan,” katanya yang kini mampu menjual hingga tiga tan durian sehari seperti durian Musang King, kampung, kahwin, IOI, Black Thorn dan D13.

Sementara itu, Lognathan berkata kerjasama mereka ini tidak hanya pada musim durian tetapi berterusan sepanjang masa dengan menjual buah-buahan tempatan yang diambil daripada pekebun berhampiran seperti nanas, buah naga selain turut menjual air kelapa.

“Kami juga aktif dalam aktiviti kebajikan terutamanya pada musim perayaan dengan sebahagian hasil jualan kami akan dikongsikan dengan mereka yang kurang kemampuan.

“Kami akan memberikan sumbangan tertentu kepada golongan kurang berkemampuan apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali,” katanya yang popular dengan gelaran Uda dalam kalangan rakannya.

Malah, ketika Ramadan mereka bertiga tidak ketinggalan memasak dan mengagihkan bubur lambuk secara percuma kepada pelanggan yang hadir di gerai buah berkenaan.

Bernama



Source link