PASIR SALAK: Felcra Berhad (Felcra) mencatatkan prestasi cemerlang dengan meraih keuntungan boleh agih bagi tempoh Januari hingga April lalu berjumlah RM101 juta menerusi Projek Penyatuan dan Pemulihan (P&P).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu akan diagihkan kepada 74,300 peserta di seluruh negara melibatkan 646 projek menguntungkan.
Katanya, jumlah keuntungan itu menunjukkan Felcra berjaya mengekalkan prestasi baik iaitu kenaikan hampir RM2 juta berbanding prestasi bagi tempoh sama tahun lalu.
“Saya tahu ada yang ternanti-nantikan pengumuman Keuntungan Boleh Agih Interim 1, Tahun 2025. Untuk makluman semua, prestasi keseluruhan projek P&P Felcra Berhad sehingga April 2025 adalah berjumlah RM178 juta.
“Daripada jumlah itu, saya mengumumkan bahawa bayaran jumlah Keuntungan Boleh Agih Interim 1, Tahun 2025, Projek-projek peserta Felcra adalah berjumlah RM101 juta.
“Sudah tentu agihan keuntungan ini akan memberi manfaat kepada 74,300 peserta di seluruh negara dan keuntungan tersebut akan dibayar kepada peserta secara berperingkat mulai hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2025 Projek-projek Peserta Felcra Berhad di Pekarangan Pusat Benih Padi, Felcra Plantation Sdn. Bhd., Felcra Berhad Seberang Perak di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.
Menurut beliau, agihan itu diharap bukan sahaja menjadi suntikan kewangan, tetapi juga pembakar semangat kepada semua peserta untuk terus memajukan projek masing-masing.
“Jadikan keuntungan ini sebagai modal untuk meningkatkan produktiviti, mengguna pakai teknologi baharubdan memperkukuh daya saing agar Felcra terus menjadi tonggak pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya
Dalam pada itu beliau berkata, selain mencatatkan prestasi cemerlang, Felcra turut melakar satu lagi sejarah penting dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pengkomersialan Padi Felcra MRQ 107 iaitu varieti padi wangi tempatan yang menjadi alternatif berkualiti kepada beras wangi import.
Katanya, dengan aroma wangi semula jadi, tekstur nasi yang lembut dan enak serta hasil tuaian yang sederhana tetapi stabil, varieti ini bukan sahaja sesuai dijadikan beras rebus malah mampu memenuhi selera rakyat dan menyokong dasar sekuriti makanan negara
“Melalui inisiatif ini, Felcra dapat memastikan bekalan benih berkualiti secara konsisten kepada pesawah, memacu transformasi teknologi pertanian moden, meningkatkan infrastruktur pengairan dan saliran serta mengukuhkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
“Manfaatnya jelas, untuk mengembangkan pengeluaran padi wangi dan varieti konvesional tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada bekalan beras import, membuka pasaran baharu seterusnya meningkatkan pendapatan pesawah serta Felcra sendiri,” katanya. – UTUSAN