Malaysia Oversight

Keluarga Wan Faris tuntut pihak berkuasa buka semula siasatan

By MkiniBM in August 17, 2025 – Reading time 2 minute
Keluarga Wan Faris tuntut pihak berkuasa buka semula siasatan


Selepas kes kematian Zara Qairina Mahathir, ingatan orang ramai kini kembali kepada kes kematian membabitkan pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang meninggal dunia 12 tahun lalu.

Malam tadi Himpunan Justice for Faris diadakan di Dataran Warisan, pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV bagi menuntut pihak berkuasa membuka semula siasatan jenayah terhadap kes berkenaan.

Menurut laporan Berita Harian, peguam keluarga, Alias Ibrahim, berkata, beberapa keterangan penting pada prosiding inkues sembilan tahun lalu sepatutnya mencukupi untuk memulakan siasatan.

“Terdapat beberapa bukti penting seperti nama suspek, laporan polis serta penemuan sampel DNA pada kain pelikat yang dijumpai bersama mangsa, juga sepasang selipar di lokasi mayat Allahyarham dijumpai.

“Namun, sebagai peguam saya kecewa dan terkilan kerana barangan bukti penting seperti DNA dan cap jari tidak dianalisis secara menyeluruh walaupun maklumat berkenaan sudah dikemukakan semasa prosiding koroner.

“Bukti dan keterangan dikemukakan di Mahkamah Koroner pada 2016 sudah mencukupi, namun mungkin ia tidak kukuh sepenuhnya bagi menghidupkan siasatan dan pertuduhan jenayah,” katanya ketika ditemui pemberita.

Alias turut mendedahkan motif kejadian berkemungkinan membabitkan unsur buli dan dendam, susulan beberapa insiden yang menyebabkan segelintir pihak tidak berpuas hati terhadap Allahyarham.

“Saya sendiri mengendalikan kes ini sejak 12 tahun lalu. Apa yang masyarakat lihat dan baca dalam nota keterangan mahkamah yang tular di media sosial sebenarnya adalah fakta yang pernah didengar dalam prosiding rasmi mahkamah, bukannya rekaan,” katanya.

Dalam pada itu, Alias berkata saman sivil yang difailkan keluarga terhadap persekutuan dan pihak polis pada Julai lalu akan mula didengar di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 26 Ogos ini.

Pihaknya turut mendesak siasatan jenayah diambil alih oleh pasukan dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bukan lagi dikendalikan oleh pasukan penyiasat dari bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris yang juga pelajar tingkatan empat ketika itu, ditemui tergantung dalam tandas asrama Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Mayatnya dilaporkan dijumpai penyelia asrama selepas menghidu bau busuk dari dalam tandas itu dan hasil bedah siasat mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut serta tiada kaitan dengan unsur jenayah.



Source link