JAKARTA: Penyanyi Indonesia, Feby Putri yang kini mencuri perhatian selepas berduet dengan artis Korea Selatan, Loco, tampil meluahkan rasa kecewa apabila dirinya turut menjadi mangsa gangguan seksual secara verbal oleh segelintir netizen.
Menerusi hantaran di Instagram Story pada Jumaat lalu, Feby memaparkan beberapa komen berunsur lucah yang ditujukan kepadanya di ruangan komen sebuah video YouTube.
“Aku sudah biasa dengan komen yang mengkritik peribadiku, persembahan pentas, muzik, dan cara nyanyian.
“Bahkan, ada yang membuatkan aku belajar. Tetapi kali ini sudah melampau, menjijikkan,” tulisnya.
Kekecewaan itu diluahkan Feby setelah melihat beberapa komen pengguna media sosial yang menyebut mengenai suaranya.
Feby turut menegaskan bahawa meskipun dirinya berhijab serta berpakaian sopan, masih ada individu berfikiran kotor yang mengambil kesempatan untuk melakukan gangguan.
“Berhijab ataupun tidak, tetap masih berisiko diganggu manusia berkepala kotor,” katanya lagi.
Insiden golongan artis menjadi mangsa gangguan seksual bukanlah perkara baharu.
Awal Julai lalu, penyanyi Nadin Amizah mengaku dirinya disentuh tanpa izin oleh penonton ketika membuat persembahan di Bekasi, Jawa Barat.
Insiden itu menyebabkan penyanyi Perempuan Gila itu menangis dan berasa dirinya ‘kotor’.
Aktris Amanda Manopo juga pernah mengalami nasib sama ketika di lokasi penggambaran filem Dusun Mayit.
Video yang tular memperlihatkan dirinya dikerumuni orang ramai sehingga ada yang berani menyentuh pipi dan bahagian tubuh sensitifnya.
Bukan hanya artis wanita, selebriti lelaki turut berdepan nasib serupa.
Abidzar, anak kepada Allahyarham pendakwah terkenal Ustaz Jefri Al Buchori, mendedahkan dirinya diganggu ketika membuat persembahan di sebuah kafe apabila punggungnya dipegang tanpa izin.
Turut melalui pengalaman pahit, vokalis Juicy Luicy, Uan, yang pernah diminta menanggalkan seluar daripada seorang wanita.