KUALA LUMPUR: Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam tindakan mengambil keterangan ketua polis daerah (KPD) dan ketua bahagian siasatan jenayah daerah (KBSJD) serta pegawai penyiasat terlibat dalam siasatan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Hamzah Ahmad berkata, tindakan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat ini.
Ketika ditanya sama ada ketiga-tiga pegawai tersebut masih bertugas atau telah ditahan kerja atau ditukarkan ke bahagian lain, beliau berkata, ia masih dalam proses tindakan.
“Dalam proses dan tindakan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada Jumaat lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, JIPS menjalankan siasatan terhadap KPD serta dua pegawai kanannya yang terbabit dalam siasatan kes Zara Qairina.
Beliau berkata, JIPS akan menghantar pasukan ke Sabah dalam masa terdekat inI susulan Kertas Siasatan Tatatertib yang dibuka berkaitan kes terbabit.
“Siasatan dijalankan ke atas KPD berpangkat Superintenden, KBSJD berpangkat Asisten Superintenden dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
“JIPS akan ambil keterangan semua dalam sehari dua bagi mengenal pasti sekiranya terdapat ketidakpatuhan dalam penyeliaan,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Pada 8 Ogos lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kubur Zara Qairina, perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat wujud keperluan untuk siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi memastikan ia dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam sidang akhbar dilaporkan berkata, kegagalan pegawai penyiasat memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Zara Qairina.- UTUSAN